suria

Sebar video jenazah budak dibungkus plastik cetus ketakutan, sukarkan usaha saringan Covid-19 - Pengarah JKNS

(kiri) Dr Christina. (kanan) Paparan video yang tular mengenai pengurusan jenazah seorang kanak-kanak yang hanya dibungkus menggunakan plastik. - Sinar Harian

VIDEO tular berhubung pengurusan jenazah seorang kanak-kanak yang dibungkus menggunakan plastik tidak berlaku di mana-mana hospital di Sabah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi mengesahkan perkara itu.

Katanya, perbuatan menyebarkan video itu akan menyukarkan usaha petugas JKNS dalam menjalankan saringan koronavirus (Covid-19) di lapangan.

"Perbuatan menyebarkan video ini menimbulkan ketakutan dan menyebabkan masyarakat teragak-agak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

"Pihak JKNS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak atau individu yang mereka atau menyebar berita palsu seumpama ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video yang tular di Sandakan berhubung pengurusan satu jenazah.

Video berdurasi 12 saat itu memaparkan jenazah seorang kanak-kanak dibungkus menggunakan plastik, namun kejadian itu dipercayai bukan berlaku di Malaysia.

Mengulas lanjut, Christina berkata, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sedia memberi sokongan mental dan fizikal bukan saja kepada mereka yang terkesan oleh Covid-19 secara langsung, tetapi juga kepada netizan yang mengalami kegelisahan berikutan situasi semasa Covid-19.

Sementara itu, dalam sidang akhbar Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semalam memaklumkan seramai 3,030 bayi dan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 di Sabah setakat 19 November lalu.

"Jumlah itu adalah 12.14 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di Sabah dan daripada jumlah itu, kanak-kanak berusia kurang dari lima tahun adalah seramai 1,241 orang dan bayi berumur bawah satu tahun adalah seramai 191 orang.

"MHPSS di bawah JKNS memberikan sokongan dalam bentuk Psychological First Aid (PFA) kepada semua individu yang terkesan oleh Covid-19 tanpa mengira umur dan kanak-kanak juga diberikan PFA melalui pasukan MHPSS yang akan menghubungi mereka melalui penjaga masing-masing.

"Kanak-kanak ini akan diberikan PFA semasa berada di pusat rawatan dan ini bagi memastikan kesihatan mental mereka tidak terjejas," katanya.-SinarHarian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain