SUSULAN kejadian tembakan membabitkan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa, dua lagi rakyat Thailand ditahan pasukan keselamatan pada 7 pagi ini di tembok sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis. Tangkapan tersebut menjadikan keseluruhan suspek rakyat negara jiran itu yang ditahan berkaitan kes tembak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) seramai lapan orang. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, daripada kesemua lapan suspek berkenaan, empat daripadanya ditahan di Malaysia manakala empat lagi di negara jiran. ARTIKEL BERKAITAN: Dua ditahan kes tembak anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand "Dua warga Thailand ini kami yakin tidak sempat melarikan diri, oleh kerana tidak ada ruang dan peluang untuk mereka melepasi tembok sempadan. Jadi apabila kami buat sweeping di ladang dan belukar tersebut, terserempak dengan dua orang ini. "Kami telah bawa mereka untuk soal siasat selanjutnya. Kami juga sedang berunding dan akan mengutuskan permohonan secara rasmi kepada pihak Polis Diraja Thailand supaya keempat-empat (penyeludup) yang ditahan di Thailand itu dapat diserahkan kepada kami untuk diadili," katanya kepada pemberita di Jempol, Negeri Sembilan, pada Rabu. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban awal pagi Selasa dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Besar, Perlis. Insiden berlaku ketika Baharuddin Ramli sedang melakukan penugasan kawalan keselamatan Op Benteng bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari. Insiden berbalas tembakan itu juga menyebabkan Norihan mengalami kecederaan parah. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!