suria

Anggota bomba di Ipoh positif Covid-19, operasi pasukan tidak terjejas

Seorang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh disahkan positif Covid-19. - gambar hiasan

SEORANG anggota bomba di Ipoh disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak tidak terjejas walaupun seorang anggotanya disahkan positif Covid-19, Sabtu lepas.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, punca jangkitan anggota lelaki dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, 11 anggota yang mempunyai kontak rapat telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah manakala 23 lagi anggota dari unit sama akan menjalankan ujian swab pada Isnin.

"Perkara ini tidak menjejaskan operasi pihak bomba kerana kami masih ada kekuatan dan dapat bantuan dari balai terdekat termasuk BBP Meru, Gopeng, Kampar sekiranya berlaku insiden," katanya selepas merasmikan program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air dan pemasangan Peralatan Menyelamat di Air (LiSA) di Taman Eko-Rimba Ulu Kenas di Ipoh, Isnin.

Dalam pada itu, Azmi berkata, JBPM Perak memilih 11 lokasi panas untuk pemasangan LiSA sebagai langkah tambahan keselamatan pengunjung di pusat peranginan dan perkelahan berikutan peningkatan kes kematian akibat aktiviti air di negeri itu.

"Setiap peti LiSA mempunyai peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, throw bag rope serta dilengkapi dengan siren untuk bantuan awal dan amaran kepada orang ramai.

"Pada tahun lepas, jumlah kematian akibat aktiviti air adalah sebanyak 24 manakala tahun ini telah merekodkan 23 kematian setakat ini," katanya.

Pemasangan LiSA di Taman Eko-Rimba Ulu Kenas adalah yang kedua di Perak dan pemasangan di 11 lokasi terpilih dijangka siap sebelum tahun depan. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain