MELIHAT kepada cabaran dalam persekitaran ekonomi tatkala negara sedang berusaha mengekang penularan Covid-19, penting untuk meletakkan satu asas yang kukuh ke arah pemulihan menjelang tahun hadapan. Fokus untuk memacu pembangunan ekonomi merupakan tema utama Belanjawan 2021 yang memberi keutamaan terhadap peluang pertumbuhan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi bagi aktiviti pembuatan dengan nilai tambah tinggi dan perkhidmatan bernilai tinggi dalam sektor seperti peranti perubatan, e-dagang dan logistik serta teknologi pendidikan. Dalam usaha menarik syarikat baharu dan peluang ekonomi melalui pelaburan langsung asing, ini juga akan membantu meningkatkan kecukupan diri (self-sufficiency) tempatan dalam bidang tersebut. Kajian komprehensif mengenai struktur insentif cukai yang sedia ada sedang dijalankan untuk menyediakan kerangka insentif cukai yang kompetitif, telus dan lebih menarik. Bagi memberi ruang untuk kajian ini disempurnakan, insentif cukai sedia ada yang akan berakhir pada tahun ini akan dilanjutkan sehingga 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Pemanjangan tempoh itu merangkumi insentif cukai untuk aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk aeroangkasa, pembinaan dan pembaikan kapal, status Bionexus dan pembangunan koridor ekonomi. Selain itu, kerajaan juga telah memperuntukkan pelaburan dalam sektor-sektor utama untuk teknologi nilai tambah tinggi menerusi Belanjawan, terutamanya RM1 bilion untuk pakej insentif khas teknologi nilai tambah tinggi yang bertujuan untuk menyokong pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan aeroangkasa termasuklah kelompok elektronik seperti di kawasan perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah. Selain itu, terdapat juga Dana Teknologi Tinggi bernilai RM500 juta yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia dalam menyokong syarikat-syarikat berteknologi tinggi dan inovatif. "Dana ini akan membolehkan Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian bekalan global dan mengekalkan ekosistem rantaian bekalan serta melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi," katanya. Disebabkan pandemik, kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan juga diperkukuh sebagaimana yang dapat dilihat menerusi Belanjawan ini. Bagi membolehkan Malaysia menjadi satu destinasi terutama untuk pembuatan vaksin, ubat-ubatan dan alatan perubatan tempatan, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan memperkukuh Program Perjanjian Off-Take bagi menarik pelaburan ke negara ini dan potensi penghasilan vaksin pada masa depan. Sebagai langkah selanjutnya untuk menggalakkan pengeluar produk farmaseutikal termasuk vaksin untuk melabur di Malaysia, kerajaan akan memberikan insentif kadar cukai pilihan bermula 0 peratus hingga 10 peratus selama 10 tahun. Malah, kerajaan turut menawarkan kadar cukai khas melalui pakej insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk syarikat pembuatan terpilih yang mengalih perniagaan mereka ke Malaysia dan membawa pelaburan baharu. Insentif ini bukan hanya disambung sehingga 31 Disember 2022, malah skopnya juga akan diperluas untuk memasukkan syarikat-syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih yang mempunyai kesan pengganda signifikan dengan menawarkan kadar cukai pendapatan 0 peratus hingga 10 peratus selama 10 tahun. Individu bukan pemastautin yang memegang jawatan penting untuk pelaburan baharu strategik oleh syarikat yang mengalih operasi mereka ke Malaysia juga akan menikmati kelonggaran cukai pendapatan khas sebanyak 15 peratus selama lima tahun. Belanjawan 2021 juga melibatkan satu insentif cukai baharu untuk penubuhan Pusat Dagangan Global dengan kadar konsesi 10 peratus selama lima tahun yang boleh diperbaharui selama lima tahun berikutnya. Sementara itu, insentif cukai untuk Hab Prinsipal akan dilanjutkan sehingga 31 Disember dan syaratnya juga dilonggarkan. Terakhir, had nilai penjualan untuk nilai tambah dan aktiviti tambahan yang dilakukan di Kawasan Perindustrian Bebas dan Gudang Pengilangan Berlesen akan meningkat dari 10 peratus menjadi 40 peratus dari jumlah nilai penjualan tahunan. *Artikel ini adalah siri kedua dalam tujuh bahagian liputan khas berkenaan Belanjawan 2021. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!