suria

Rentas negeri, daerah dibenarkan bermula 7 Disember kecuali kawasan PKPD - Ismail Sabri

Bermula 7 Disember, orang ramai dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah. Foto: Bernama

KERAJAAN mengumumkan kelonggaran dengan membenarkan kembali pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara mulai 7 Disember ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaras dengan keputusan tersebut, polis kini tidak lagi ditugaskan melakukan sekatan jalan raya (SJR) sebagaimana sebelum ini.

Bagaimanapun, ujarnya kebenaran itu terkecuali untuk mereka yang tinggal di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di Selangor, KL, Sabah dilanjutkan sehingga 20 Disember, tamat di Putrajaya, Labuan dan 4 negeri lain

"Mulai 7 Disember, polis tidak lagi melakukan sekatan jalan raya tetapi arahan kepada pihak polis, walaupun tak ada sekatan jalan raya tetapi memfokuskan kepada pematuhan SOP.

"Polis akan lebih menumpukan kepada pematuhan SOP berbanding mengadakan sekatan jalan raya. Kerana yang penting rakyat perlu patuh kepada SOP. Polis akan berada di mana-mana untuk memastikan pematuhan SOP," katanya dalam sidang media pada Sabtu petang.

Walaupun pergerakan rentas negeri dan daerah sudah dibenarkan, namun aktiviti berkaitan pelancongan akan diputuskan kemudian selepas perbincangan dibuat dengan Kementerian Pelancongan.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa tiada lagi had jumlah penumpang yang ditetapkan di dalam sesebuah kenderaan.

"Jumlah penumpang adalah berdasarkan kapasiti tempat duduk," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan terdapat beberapa perubahan SOP di Sabah iaitu:

1) Kemasukan individu ke negeri Sabah dibenarkan untuk tujuan sosial (Pas Lawatan Sosial).

2) Kemasukan bagi orang yang bukan warganegara yang tidak memiliki pas imigresen jangka panjang wajib mendapatkan Kelulusan Khas daripada Kerajaan Negeri Sabah.

3) Semua individu yang akan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani swab ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan. Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah.

4) Perkhidmatan bas ekspres, bas pelancongan dan keretapi melibatkan rentas daerah adalah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus serta pematuhan penjarakkan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

5) Pergerakan keluar bot-bot kecil dari pulau-pulau di negeri Sabah ke tanah besar termasuk pergerakan botbot di kawasan pesisiran pantai hanya dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus mulai jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

6) Aktiviti menyelam (scuba diving) dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus muatan penumpang bagi bot yang membawa penyelam ke lokasi selaman dan kapasiti 50 peratus di lapangan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah. (kecuali kawasan PKPD)

7) Restoran, kedai/gerai makan, penjaja, dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 12 malam.

8) Kelas tuisyen, kelas muzik, kelas tarian, kelas seni, kelas mengaji berbayar, kelas bahasa berbayar dan sebagainya dibenarkan beroperasi dengan tidak melebihi lima (5) orang dalam satu-satu masa serta tertakluk kepada saiz ruang dengan penjarakan fizikal.

9) Aktiviti pelancongan adalah dibenarkan dengan kapasiti terhad serta mematuhi SOP Gelembung Perjalanan Domestik

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain