suria

Rebah sebaik saja dengar hukuman, tertuduh meninggal dunia akibat serangan jantung

Seorang lelaki warga Indonesia rebah selepas mendengar hukuman yang dijatuhkan oleh hakim sebelum disahkan meninggal dunia. Gambar hiasan

AJAL di kandang tertuduh.

Seorang lelaki warga Indonesia meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dia dibicarakan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pada pagi Selasa.

Terdahulu, tertuduh yang dikenali sebagai Hadirun, pengsan sebaik sahaja hukuman dijatuhkan terhadapnya oleh hakim atas kesalahan narkotik.

"Kejadian berlaku selepas Orang Kena Tahan (OKT) itu mendengar hukuman dijatuhkan kepadanya dan kemudian masuk ke kandang pesalah sebelum rebah dan pengsan.

"OKT kemudian dibawa ke hospital namun meninggal dunia dalam perjalanan dipercayai akibat serangan jantung pada jam 12.06 tengah hari," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman.

George berkata, OKT berkenaan berasal dari Buton, Indonesia dan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"OKT dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menagih dadah dan tiada dokumen diri yang sah," katanya.

Sebelum itu, mahkamah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara mulai dari tarikh OKT ditangkap dan diarahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas hukuman selesai untuk tujuan pengusiran.

Tambah George, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat diserah kepada pihak hospital untuk dibedah siasat. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain