suria

Seiring teknologi terkini, digitalisasi ubah operasi industri air negara... matlamatnya pengguna dapat servis lebih mantap!

ICC Air Selangor juga menampilkan integrasi dengan Model Hidraulik Dalam Talian, sistem integrasi end-to-end untuk memantau, menganalisis, dan memodelkan sistem pengedaran dalam masa nyata.

ZAMAN sudah berubah, cara kerja juga berbeza.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kehadiran teknologi yang banyak memberi manfaat buat kita pada hari ini.

Malah, kemajuan teknologi dan trend data turut memesatkan peningkatan kebolehupayaan sesebuah organisasi untuk mencapai hasil yang lebih signifikan.

Dengan menggunakan teknologi sedia ada, syarikat pengurusan perkhidmatan air juga mampu mempertingkatkan kecekapan, keuntungan dan daya ketahanan operasi loji rawatan air mereka.

Melalui pendigitalan operasi, sesebuah syarikat boleh mengumpul dan menggunakan maklumat masa nyata untuk dianalisa tepat pada masanya agar tindakan pencegahan dapat diambil sebelum timbul sebarang isu yang lebih kritikal.

Tidak terkecuali, operator air terbesar Malaysia, Air Selangor yang mempunyai kapasiti untuk membekalkan 5,000 liter juta air setiap hari (JLH) telah mula mendigitalkan operasinya dalam usaha untuk menjadi utiliti air digital masa hadapan.

Anjakan digital tersebut merangkumi pelancaran Pusat Kawalan Pintar yang menjadi lokasi utama operasi syarikat tersebut, pusat analisis data bagi membina keupayaan data besar (big data), pelaksanaan teknologi meter pintar dan bergerak ke arah memberikan pengalaman khidmat pelanggan yang lebih baik.

Automasi dan Pendigitalan Operasi

Pusat Kawalan Operasi (OCC) yang kini dalam peralihan ke Pusat Kawalan Pintar (ICC) membolehkan operasi digital Air Selangor menghubung dan mengintegrasi parameter aset strategik utama yang merangkumi tekanan dan aliran air, tahap takungan, status pam, serta kebolehan kawalan pengawasan dan pemerolehan data (SCADA).

ICC yang bakal beroperasi sepenuhnya pada tahun 2021 tampil dengan satu ciri utama iaitu perintegrasian dengan ‘Online Hydraulic Model’; sebuah sistem integrasi hujung-ke-hujung untuk memantau, menganalisis dan mencontohi sistem pengagihan pada masa nyata.

Ia berdasarkan perintegrasian data hidraulik masa nyata dengan model simulasi komputer hidraulik dan alat ramalan statistik sekaligus membolehkan Air Selangor untuk mempunyai kawalan pemantauan masa nyata ke atas aset yang beroperasi sepanjang masa dan memastikan bekalan air terawat yang bersih dan selamat dapat dibekalkan kepada pelanggan dengan berterusan.

Ekosistem ICC semasa akan dipertingkatkan lagi dengan kemampuan replika maya, yang dikenali sebagai ‘Digital Twin’, yang membolehkan analisa data dan pemantauan sistem bagi menghindar sebarang masalah, mencegah masa henti dan merancang masa hadapan melalui kaedah simulasi.

Big Data Analytics sebagai 'Pengubah Permainan'

Jika sebelum ini operasi dilakukan secara manual untuk mengumpul dan menganalis data, kini segalanya berubah.

Malah, cara lama itu disifatkan tidak lagi relevan apabila syarikat itu kini memperoleh jumlah data yang besar dan pelbagai pada kelajuan tinggi dengan adanya loji rawatan air dan teknologi baru serta bertambahnya bilangan pengguna.

Bagi memanfaatkan pangkalan datanya dengan cekap, Air Selangor telah menubuhkan Pusat Analisis Data (DAC) bagi membina kemampuan ‘Big Data Analytics’, atau analisa data besar untuk Kepkeseluruhan perusahaan.

Malah, Air Selangor merupakan operator air pertama di Malaysia yang mempunyai DAC bagi menyokong operasi perniagaannya.



Air Selangor menggunakan digitalisasi dan menggunakan teknologi canggih untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan melayani pelanggannya dengan lebih baik.

Pusat tersebut dilengkapi dengan kejuruteraan, pengurusan data dan pengkhususan digital.

Kewujudan DAC turut membolehkan Air Selangor juga mampu mempertingkatkan kecekapan prestasi dan operasi melalui Operations Business Intelligence (OBI) atau kecerdasan operasi perusahaan yang membolehkan titik buta dalam jurang operasinya dikenal pasti.

Melalui OBI pula, pihak pengurusan dapat meneliti secara mendalam pemahaman dan informasi terkini yang mempercepatkan proses membuat keputusan.

Pelbagai analisis ramalan atau pengoptimuman dan teknologi kecerdasan buatan memanfaatkan statistik dan pembelajaran mesin dalam platform awan (cloud) yang dapat diaplikasikan untuk menerokai peluang untuk mengawal kos, mengurus risiko, mempertingkat tahap perkhidmatan, mengurus pendapatan serta pelbagai inisiatif lain di masa hadapan.

Dalam pada itu, kemampuan DAC juga sedang diperkenalkan secara berperingkat dan akan menjadi pusat kecemerlangan teras Air Selangor bagi semua usaha analisis datanya.

Menerusi DAC, Air Selangor akan menjadikan analisis data besar sebagai pengubah permainan baharu untuk mengemudi inisiatif Air Selangor Strategic Plans and Initiatives Realisation (ASPIRE).

Memperkasakan Pengguna dengan Meter Pintar

Air Selangor turut memperkenalkan meter air bijak yang memberikan maklumat masa nyata bagi mengurus penggunaan air dan pembacaan meter untuk tujuan pengebilan dengan lebih baik.

Ia bermula pada tahun lalu apabila mereka melancarkan program rintis meter pintar Advanced Metering Infrastructure (AMI) di wilayah Sepang.

Meter Pintar menggunakan teknologi tanpa wayar pada frekuensi yang ditetapkan untuk menghantar data agar bacaan meter boleh dilakukan dari jarak jauh sekaligus mengurangkan keperluan untuk kerja bacaan secara manual dan anggaran untuk tujuan pengebilan.

Ia membolehkan pengguna dimaklumkan apabila terdapat peningkatan drastik pada penggunaan air mereka, yang disebabkan oleh kadar penggunaan yang luar biasa atau kemungkinan terdapat kebocoran dalaman, serta apabila terdapat kerosakan terhadap meter air mereka.

Ia ternyata memberi manfaat buat pelanggan apabila tanda amaran ini membolehkan mereka mengambil langkah segera atau memaklumkan Air Selangor untuk mendapatkan penyelesaian.

Malah, teknologi ini juga membolehkan Air Selangor memperoleh dan mengkaji data penggunaan air oleh para pengguna.

Untuk rekod, sejumlah 7,923 meter AMI telah dipasang dalam fasa pertama projek rintis program Meter Air Pintar (AMI) yang dilancarkan di wilayah Sepang dan dihubungkan melalui teknologi selular Narrowband – Internet of Things (NB-IoT).

Bagi fasa kedua projek rintis ini, ia akan dilancarkan pada Disember 2020 dengan hasrat untuk terus menerokai dan menilai teknologi baharu serta faedah kos sebelum melancarkan program ini secara menyeluruh.

Masa Hadapan Digital Air

Air Selangor tidak terkecuali berhadapan cabaran seperti kemampuan, kekurangan, daya ketahanan operasi dan kualiti yang turut memberi tekanan besar kepada komuniti di kawasan perkhidmatan mereka.

Namun, teknologi baharu, perkembangan analisa dan penyelesaian digital akan memberi kelebihan kepada industri air.

Malah, mereka turut memanfaatkan potensi data masa nyata serta kebolehan analisis yang dibawa oleh digitalisasi membolehkan syarikat dalam industri air untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

Sementara itu, anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Dr. Mohamad Asari Daud turut mengakui cabaran yang dihadapi oleh operator air di negara ini.

“Operator air menghadapi cabaran dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna, khususnya akibat kekerapan krisis air yang berlaku serta kerumitan sistem pengagihan yang perlu diurus.

"Terdapat keperluan untuk satu perubahan besar bagi menangani cabaran ini serta memenuhi keperluan pelanggan secara konsisten melalui pengurusan air yang cekap, dan adalah penting untuk melihat bagaimana penyelesaian digital dapat diintegrasikan dalam industri air yang luas dan berkembang dengan pesat," ujarnya yang juga Ahli Majlis Persatuan Air Malaysia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain