suria

Usaha Miti mampu rancakkan operasi bisnes norma baharu

Miti sentiasa komited membantu industri perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

AMAI pengusaha terjejas akibat penutupan sektor ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sebagai usaha kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.

Namun semua pemain industri menarik nafas lega apabila kerajaan mengambil keputusan membuka semula hampir semua sektor ekonomi bermula awal bulan Mei lalu bagi mengurangkan kerugian yang perlu ditanggung selain memastikan perlindungan pekerjaan buat Rakyat Malaysia.

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan agensi di bawahnya dilihat sebagai Barisan Hadapan Ekonomi Negara yang membantu memulihkan industri terjejas sebagai salah satu usaha untuk memampankan dan memulihkan semula ekonomi negara,

Malah inisiatif tersebut juga memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

Usaha itu penting bagi memastikan sektor ekonomi terjejas khususnya peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk membekalkan produk atau perkhidmatan mereka kepada pelanggan.

Dalam situasi ekonomi yang agak mencabar ketika ini, agenda pendigitalan yang dipacu Miti merupakan langkah yang perlu diambil serius oleh usahawan tempatan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing di dalam persekitaran norma baharu ini.

Pada masa sama, transformasi ini bukan saja membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti tenaga kerja, tetapi mampu mengembangkan syarikat menjadi sebuah entiti yang mahir dalam aktiviti e-dagang.



Menyedari kebaikan nanas ENSU Lifescience Sdn Bhd dengan kerjasama Sirim Berhad berjaya menghasilkan produk kosmetik berasaskan enzim nanas yang dikenali ENSUtouch.

Sirim Berhad yang juga agensi penyelidikan di bawah Miti contohnya telah berjaya mengkomersialkan ekstrak tumbuhan semula jadi daripada nanas kepada syarikat tempatan yang diaplikasikan ke dalam produk kosmetik.

Produk penjagaan kulit muka dengan jenama Ensutouch dihasilkan daripada ekstrak sisa nanas hasil kerjasama pintar antara SIRIM dan Ensu LifeSciences Sdn Bhd pada Februari lalu.

Inovasi teknologi hijau itu membabitkan pemprosesan biomas dari komponen nanas tanpa menggunakan bahan kima berbahaya.

Menurut Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Ensu LifeSciences Sdn Bhd, Dr Suhana @ Husin Misnan, syarikat tersebut menghasilkan bahan sisa nanas yang berpotensi diguna semula untuk kegunaan kosmetik dengan bantuan penyelidikan bersama SIRIM Berhad.

"Dengan kerjasama Miti dan agensi penyelidikan Sirim Berhad kami dapat melaksanakan penyelidikan produk kosmetik dengan lengkap. Saya sebenarnya sentiasa mencari kelainan jadi saya melihat nanas ada potensi untuk dikembangkan.

"Jadi saya berbincang dengan Sirim bagi pembangunan teknologi ekstrak nanas berasaskan biomas untuk menghasilkan ramuan baharu dalam kosmetik.

"Hasil kajian saintifik ekstrak biomas yang terhasil itu amat positif dan kami dapat buktikan ia sesuai digunakan sebagai bahan aktif dalam produk kosmetik," katanya.

Dalam pada itu, Suhana berkata pandemik Covid-19 memberi tamparan hebat kepada syarikat pengeluar produk kosmetik dan penjagaan diri itu.

"Kita melihat pandemik Covid-19 pada awalnya satu kejutan sebab kita tak bersedia. Bila kita dalam indusri seperti ini kita ada staf yang ramai.

"Jadi bila kita tiba-tiba tak dapat menjalankan aktiviti, maka sumber pendapatan kita terjejas pada peringkat awal," katanya dalam satu temubual bersama MitiTV.

Namun beliau menarik nafas lega apabila mendapat surat kebenaran daripada MITI untuk menjalankan semua aktiviti perniagaan mereka yang diarahkan tutup sebelum ini.

"Jadi waktu tu kami dapat satu kontrak daripada sebuah syarikat untuk menghasilkan sanitizer. Alhamdulillah dalam keadaan sukar kami dapat penuhi order tu dan kami dapat survive.

"Waktu PKP ada orang kena buang kerja. Dia dapat buat partime, dapat income dari sini. Ramai anak muda yang jadi pengedar kami dapat income luar biasa dengan jual produk ini.

"Namun mereka perlu mengikuti kursus yang disediakan. Dia tak boleh main jual sahaja tapi kena faham produk sebab ini bukan produk biasa-biasa," katanya.



Hexa Sdn Bhd memanfaatkan teknologi pendigitalan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing dan mampan dalam persekitaran norma baharu.

PENDIGITALAN kini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka masa panjang.

Dalam tempoh beberapa bulan yang lepas, penggunaan komunikasi digital telah membantu memudahcara perhubungan rakyat.

Mesyuarat digital dan webinar telah menjadi kebiasaan dan platform digital juga adalah elemen yang penting dalam melancarkan proses perniagaan.

Dalam berhadapan cabaran ini, pekerja dan majikan berjaya meningkatkan penggunaan teknologi digital dan memudah cara tugasan sekali gus meninggikan produktiviti dan keberkesanan proses.

Pengurus Hexa Food Sdn Bhd, Rajagiri berkata, proses pendigitalan membantu syarikat pengeluar rempah dan perencah makanan itu mendapat perolehan sebanyak RM18 juta pada 2018 hingga 2019.

"Semua ini menjadi kenyataan dengan proses pendigitalan dan kini kami menuju ke arah Internet of Thing (IoT) dan Entreprise Resource Planning (ERP). Inilah perjalanan kami.

"Industry4WRD oleh Miti amat penting bagi semua syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). Ianya penting kerana anda perlu mengetahui perkembangan pasaran terkini jika tidak anda akan didahului oleh pesaing lain, ” katanya.

Malah Rajagiri berkata, syarikat tersebut berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga 20 peratus semasa pandemik Covid-19.

"Kejayaan ini kerana kami memperolehi data yang telus. Pada masa itu juga kami sedang dalam proses dari rekod fizikal ke sistem penyimpanan awam seperti Dropbox.

"Data kami menjadi lebih telus dan semua orang pun boleh melihatnya. Terutamanya bagi industri makanan kami perlu mematuhi pelbagai peraturan bagi memastikan piawai keselamatan makanan adalah dipatuhi. Data ini membantu kami mencapai matlamat tersebut," katanya.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Hexa IoT Sdn Bhd, New berkata teknologi Industry4WRD (Industri 4.0) dapat membantu mengurangkan pembaziran dan kerosakan produk mereka.

"Kami bermula dengan IoT. Dengan menyertai Program Penilaian Kesediaan yang dianjurkan Miti kami mendapat manfaat daripada khidmat audit dan nasihat daripada agensi kerajaan.

"Sepanjang proses audit, mereka menilai tiga faktor utama seperti tenaga kerja, proses dan teknologi. Ini membolehkan kami memahami bahagian pengeluaran kami dengan lebih mendalam.

"Ia mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk mencapai semua ini kerana sebab teknologi ini mahal. Tetapi dengan dana daripada kerajaan ia semestinya membantu," katanya.

Seorang operator pengeluaran di syarikat tersebut turut mengakui proses penghasilan produk menjadi lebih mudah dengan bantuan Industry4WRD.

"Sebelum ini kami terpaksa menimbang setiap dram daripada production ke kawasan penimbangan. Kami terpaksa menolak dram tersebut jadi memerlukan banyak tenaga operator.

"Tapi dengan bantuan Industry4WRD kami boleh menimbang setiap dram di kawasan production jadi tak perlu ke weight area lagi. Dengan sekali tagging segala data seperti person in charge dan berat produk tersebut akan disimpan di dalam cloud," katanya.



Malaysia merupakan antara pelopor awal dalam membangunkan industri halal ke arah yang lebih sistematik dan berdaya saing di peringkat global.

INDUSTRI halal di negara ini memiliki potensi amat besar untuk diperkasakan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab Halal di peringkat global.

Dengan permintaan daripada ekonomi Muslim dunia yang semakin meningkat, produk halal merupakan antara satu eksport utama Malaysia.

Pada masa sama industri itu menawarkan peluang bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menerokai peluang tersebut.

Pengerusi Global Haltech Sdn Bhd, Nor Amin Mohd Noor berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melalui agensinya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) banyak membantu syarikat itu mengenal pasti rakan strategik industri halal terbaik di luar negara.

"Kami fokus pada banyak perkhidmatan di luar negara bersama rakan strategik di luar negara. Jadi Miti melalui agensinya Matrade banyak membantu kami mengenal pasti siapa rakan strategik di luar negara.

"Mereka mendapatkan sebanyak mana info yang boleh dilakukan, apa tak boleh dilakukan dan juga siapa yang boleh kami bekerjasama supaya tidak tersalah langkah ataupun tersilap memilih rakan strategik di luar negara," katanya.

Beliau berkata, syarikat yang fokus pada halal testing itu mendapat kepercayaan daripada rakan strategik di Indonesia pada 2019.

"Alhamdulillah pada 2019 kami berjaya menubuhkan makmal cawangan di Jakarta, Indonesia. Makmal itu sebenarnya membantu autoriti di Indonesia supaya pensijilan halal di sana disahkan dengan penuh integriti menerusi ujian makmal.

"Trust But Verify, anda boleh percaya sesiapa, apa-apa dokumen, pihak berkuasa tapi masih memerlukan pengesahan. Macam mana nak sahkan? Melalui bukti saintifik. Kami datangkan keadaan di mana status halal itu menerusi analisis makmal.

"Bukan sekadar hanya melihat dokumen atau melihat kilang-kilang dan itu mungkin ada manipulasi. Kalau kata halal bermaksud tiada unsur daripada khinzir dan level alkohol tidak melebihi standard yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.

Seperti rakan niaga lain, Noor Amin mengakui syarikat tersebut turut terjejas akibat pandemik Covid-19

"Semua staf terpaksa berada di rumah dan bisnes kami mencatatkan penurunan revenue. Sebenarnya pada masa itu kami bimbang mungkin tiada lagi bisnes.

"Tapi kami cuba memikirkan secara positif apa lagi yang boleh dilakukan agar pendapatan staf kami terjaga sebab ini sebagai satu keluarga, susah senang kita bersama.

"Alhamdulillah awal April dan Mei bisnes sektor ekonomi penting mula dibuka semula. Pada ketika itulah kami mula memikirkan alternatif apa yang lakukan sebelum ini," katanya.

Tambah Noor Amin, antara alternatif yang dilakukan adalah menjalin kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan supaya bisnes mereka berterusan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Lain