WALAUPUN keadaan ombak besar yang semakin berbahaya di pesisir Pantai Seberang Takir (Pantai Miami) di Kuala Nerus, Terengganu, tetapi orang awam masih berdegil menghampiri kawasan itu. Sehubungan itu, laluan jalan pesisir ke Pantai Seberang Takir (Pantai Miami) di kedua-dua arah akan ditutup terus sekiranya orang ramai berterusan menghampiri kawasan itu susulan fenomena air pasang besar yang berlaku ketika ini. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan jumlah kenderaan di laluan berkenaan, selain mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Menurutnya, buat masa ini, laluan dari jalan pesisir Pantai Seberang Takir ke Bandaraya Kuala Terengganu (Jambatan Angkat) yang melibatkan jarak hampir lima kilometer telah ditutup bermula malam Khamis susulan fenomena angin kencang dan air pasang besar. "Kita jangka penutupan ini sehingga esok (Ahad) bagi menjamin keselamatan pengguna berikutan berlaku limpahan ombak serta sampah-sarap di lokasi berkenaan. "Walaupun laluan itu ditutup, orang ramai masih boleh melalui jalan ini dan menghampiri pantai untuk melihat fenomena air pasang besar ini. "Keadaan ini bukan hanya boleh menyebabkan kesesakan jika pengguna memberhentikan kenderaan di bahu jalan tetapi turut berbahaya apabila mereka menghampiri pantai," katanya ketika ditemui semasa melakukan pemantauan di sekitar Pantai Seberang Takir. Beliau turut mengingatkan orang ramai, fenomena air pasang besar yang berlaku ketika ini bukanlah pesta kerana keadaan ombak yang tinggi serta angin kencang tidak sesuai untuk sebarang aktiviti pantai, walaupun hanya sekadar untuk bermain di tepi pantai. Katanya, polis akan terus membuat rondaan berterusan di kawasan pantai di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sehingga keadaan cuaca kembali baik. "Selain di Pantai Miami ini, kita akan melakukan rondaan di Pantai Tok Jembal, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Batu Burok, Pantai Batu Rakit dan Pantai Pandak yang menjadi tumpuan orang ramai. "Jika masih ada yang ingkar dan berterusan menghampiri kawasan pantai, kita akan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang bersesuaian seperti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya. - Sinar Harian Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!