suria

JAIS tampil jawab dakwaan, sahkan siasat Nur Sajat

Usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

KECOH di media sosial beberapa hari lalu selepas jutawan kosmetik, Nur Sajat memuat naik satu video rakaman ketika dia disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Video tersebut menjadi tular dan telah mendapat pelbagai respon daripada netizen.

Susulan itu, JAIS tampil dengan satu kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat tak bertudung di KLIA, tapi bertelekung di Makkah - “Sepanjang pelepasan ikut garis panduan, cuma sebaliknya berlaku di sana”

Menerusi kenyataan tersebut, JAIS mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan terhadap Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzzaman baru-baru ini.

JAIS berkata, pihaknya juga mengambil maklum berhubung video ditularkan oleh Nur Sajat yang dirakam ketika proses siasatan dilakukan.

Menurut kenyataan itu, video terbabit memaparkan insiden melibatkan Sajat dengan beberapa anggota penguat kuasa JAIS pada 6 Januari lalu.

"Sajat telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut. Pegawai penguat kuasa JAIS berkenaan juga telah dipanggil bagi memberikan keterangan mengenai laporan yang dibuat," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu JAIS memaklumkan, Nur Sajat disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No 5 Tahun 1995.

"Ia berikutan tindakannya di Selangor dan beberapa aduan yang diterima mengenai perlakuan beliau (Sajat) pada tahun 2018 dan 2020," menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Sajat menerusi Instagram miliknya mendakwa JAIS seolah-olah melengah-lengahkan urusan surat jaminan dan turut menyebabkan kecederaan kepadanya ketika proses siasatan dijalankan di Ibu Pejabat JAIS di sini.

Sajat mendakwa beliau dilayan dengan buruk dan digari sehingga mengalami bengkak di bahagian badan kerana bergelut untuk mempertahankan diri walaupun sudah tampil memberikan kerjasama untuk siasatan pihak JAIS. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Nur Sajat, JAIS

Artikel Lain