suria

Perhatian! Bayaran fasa kedua BPN 2.0 dibuat mulai 21 Januari ini

Orang ramai beratur di BSN bagi mendapatkan bayaran BPN pada Oktober tahun lalu. -foto AZHAR MAHFOF/The Star

SEPERTI yang dinanti-nantikan, pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) akan dibuat bermula 21 Januari ini.

Seramai 11.06 juta penerima akan menerima manfaat bagi fasa kedua BPN 2.0.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran akan terus dikreditkan ke akaun penerima B40 pada 21 Januari.

"Bagi penerima M40, bayaran juga akan dikreditkan ke akaun penerima pada 25 Januari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, penerima tanpa akaun bank boleh menuntut wang pembayaran di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

"Pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa," katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank, pembayaran akan dibuat mulai awal Februari sehingga 1 April.

"Lokasi tuntutan wang bakal diumumkan pada akhir bulan Januari," katanya.

Katanya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta yang terdiri daripada 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah.

"Jumlah bayaran adalah sebanyak RM7.18 bilion setakat ini," katanya. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain