suria

Calon SPM MRSM Lipis dikuarantin

Seorang pelajar calon SPM dari MRSM Lipis disahkan positif Covid-19 pada Selasa.

SESI persekolahan 2021 menyaksikan seramai 144 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis di Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikuarantin.

Ia susulan seorang pelajarnya positif Covid-19 pada Selasa.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, seramai 142 pelajar perempuan menjalani kuarantin di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki di asrama berkenaan.

Menurutnya, pemindahan tersebut dilakukan sebagai langkah keselamatan semua pihak.

"Ia juga melihat situasi yang mana daripada 20 orang yang bergejala (bilangannya) meningkat kepada 30 orang dalam tempoh 10 hari.

"Setakat pagi ini, terdapat tiga lagi pelajar yang dikuarantin di I-KPKT positif Covid-19 dan dihantar ke hospital," katanya memetik laporan portal Utusan Malaysia pada Rabu.

Menurutnya, pemindahan pelajar perempuan ke I-KPKT dilakukan setelah mengadakan perbincangan bersama termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Zairasyahli berkata, sebagai langkah keselamatan, pemindahan pelajar yang menggunakan bas diiringi anggota polis.

"Terdapat tiga guru pengiring dibawa bagi menjaga kebajikan pelajar sepanjang ditempatkan di pusat kuarantin," katanya. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain