KEMENTERIAN Kesihatan memberi gambaran bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada masa ini bakal berakhir, diikuti dengan PKP Bersyarat (PKPB) selama tiga bulan. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan PKP untuk jangka panjang kerana ia boleh memberi kesan kepada ekonomi. "Kita tidak mahu memanjangkan PKP. "Jika kita melaksanakan PKP selama empat minggu hingga awal Februari, dan diikuti dengan PKP Bersyarat selama tiga bulan, kita berharap kita dapat mengurangkan jumlah kes Covid-19 kepada dua angka," kata Dr Noor Hisham, dalam sesi taklimat media secara maya pada Isnin. Beliau berkata, kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) semasa menurun dari 1.2 ke 1.06, menunjukkan bahawa kes Covid-19 mungkin berkurangan. "Hari ini jumlah kes adalah 3,048, iaitu kurang dari semalam (3,346 kes pada Ahad). "Kita berharap kes dapat stabil pada 3.000. Sekarang, R0 menurun dari 1.2 ke 1.06. Tetapi ini tidak mencukupi. "Esok, ia boleh kurang dari 1.06. Lebih baik sekiranya kurang dari 1. "Oleh itu, kita berharap dalam dua minggu pertama PKP ini, jumlah kes adalah stabil dan tiada peningkatan. "Dan kemudian, selepas 27 Januari, kita menjangkakan jumlah kes menurun," kata Dr Noor Hisham. Beliau berkata, PKP yang berpanjangan akan menjejaskan ekonomi. "Jika kita memanjangkan PKP, ekonomi kita akan terjejas. Kita perlu mengimbangkan kesihatan dan ekonomi, serta kehidupan dan sara hidup," tambahnya. Pada masa ini, PKP dilaksanakan di semua negeri kecuali Sarawak sehingga 4 Februari. - The Star Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!