BERMULA Mac ini, suntikan vaksin melibatkan 75,000 orang sehari akan dilaksanakan di 600 lokasi vaksinasi seluruh negara. Bagi dos kedua pula, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan berharap dapat melakukan 150,000 suntikan. Bagaimanapun, untuk sasaran seterusnya, kata beliau, ia bergantung kepada bekalan. ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan pertama pada Februari 2021, PM antara individu terawal bakal terima vaksin Covid-19 "Langkah ini bagi membolehkan vaksinasi kepada 27 juta penduduk bersamaan 80 peratus populasi negara ini diselesaikan pada Mac tahun depan atau paling cepat hujung tahun ini," katanya menerusi temubual dengan CodeBlue semalam. Selain itu, beliau tidak menolek kemungkinan timbul masalah kelewatan bekalan membabitkan vaksin dibangunkan Pfizer dan AstraZeneca selain dihasilkan firma China serta Rusia. "Portfolio vaksin akan terus diimbangi dan disesuaikan supaya kita mampu peroleh jumlah sepatutnya sehingga suku keempat tahun ini," katanya. Menurut Khairy, setakat ini, kerajaan sudah mengenal-pasti 600 kawasan untuk vaksinasi termasuk stadium. "Dalam 75,000 orang sehari, dengan kombinasi 600 tapak, termasuk klinik swasta dan hospital swasta, ditambah kawasan vaksinasi luas yang saya sedang aturkan...jika rancangan berjalan lancar, kita boleh selesaikan paling cepat pada Disember (ini)," katanya. Menurut Khairy Jamaluddin, kerajaan turut melakukan pemetaan tapak vaksinasi berdasarkan kepadatan populasi, jangkaan permintaan serta anggaran berapa ramai orang boleh menerima suntikan di pusat berkaitan setiap hari, bagi mereka yang tinggal dalam radius 10 kilometer (km). "Dalam tempoh kurang sebulan, kerajaan akan tahu jangkaan bila program vaksinasi ini boleh diselesaikan jika ada bekalan," katanya. Jelasnya, perbincangan perlu diadakan di peringkat kerajaan negeri dengan klinik swasta bagi melihat kapasiti vaksinasi dan lokasi masing-masing. "Ini lebih kepada kemudahan. Jika warga tua tinggal di kawasan tertentu yang mungkin jauh dari hospital atau tapak berkenaan, mereka boleh pergi ke klinik swasta, kita sudah senaraikan dalam laman web serta (aplikasi) MySejahtera yang anda boleh buat temujanji," katanya. Katanya, bilangan kakitangan vaksinasi akan ditambah daripada 7,000 kepada 10,000 orang mengikut tapak vaksinasi. Malahan, katanya, selain doktor yang juga kakitangan vaksinasi, turut terlibat adalah pembantu perubatan, jururawat, penyelia jururawat, pelajar perubatan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "Kita bukan hanya menggerakkan mereka dalam perkhidmatan kesihatan, malah komuniti sukarelawan seperti Bulan Sabit Merah, St John Ambulans dan sukarelawn lain akan terbabit," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!