suria

Pengorbanan luar biasa rakyat Malaysia ungguli pencarian 30 wira… Jujur dan tidak pentingkan diri jadikan inspirasi

Kathy dan Norazam antara 30 individu yang terpilih sebagai wira menerusi kempen #BERSAMA 2.0 Spotlight on Heroes anjuran Sime Darby Property Berhad.

SEBAIK sahaja mengetahui kerajaan bakal menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan virus Covid-19 pada pertengahan Mac tahun lalu, Norazam Sulaiman bingkas memikirkan idea untuk membantu masyarakat dalam mendepani situasi sukar ketika itu.

Memahami kesulitan yang ditanggung sebahagian besar rakyat yang terkesan dari segi pendapatan lantaran kehilangan pekerjaan, Norazam yang juga seorang konsultan di sebuah syarikat swasta, terfikir untuk membekalkan ikan dengan harga yang rendah bagi meringankan beban golongan ini.

"Ketika itu bekalan ikan terlalu banyak, jadi saya order ikan dengan rakan di Alor Setar dan saya jual dengan harga yang sangat murah di sini. Malah saya buat sendiri perkhidmatan penghantaran sekitar Semenyih, Kajang, Beranang dan sebagainya.

"Kita faham masa tu bukan saja susah nak keluar, malah keadaan kewangan juga sempit. Sebahagian besar stok ikan saya itu juga disedekahkan kepada rumah anak yatim, warga emas dan ibu tunggal.

"Mula-mula ini inisiatif sendiri saja... namun selepas itu apabila ramai yang tahu, mereka pun nak sama-sama bantu memberi sumbangan," katanya yang menetap di Bandar Sri Permaisuri, Selangor.



Norazam mencipta mencipta alat penyembur disinfeksi automatik untuk dipasang di masjid dan surau bagi memastikan kebersihan jemaah yang hadir ketika pandemic Covid-19.

Tidak sekadar itu, pada masa sama bekas kontraktor berusia 54 tahun ini juga tampil dengan idea bernas, iaitu mencipta alat penyembur disinfeksi automatik untuk dipasang di masjid dan surau bagi memastikan kebersihan jemaah yang hadir.

"Masa pandemik, kebanyakan surau dan masjid ditutup... jadi saya fikir, mengapa tidak saya usahakan sesuatu untuk sanitize masjid atau surau. Kebetulan saya pun banyak terlibat dalam bidang pembinaan serta keselamatan.

"Jadi saya pun buat proposal... tapi timbul pula kekangan dari sudut kewangan. Nak sanitize masjid selalu, akan libatkan kos yang besar. Jadi saya terfikir konsep tunnel di mana jemaah yang lalu akan disembur seluruh tubuh mereka dengan cecair nyahkuman secara automatik.

"Kosnya lebih rendah. Tapi tak terfikir pun untuk tujuan komersial, sebaliknya untuk pastikan kebersihan jemaah saja. Alhamdulillah, tiga masjid berjaya dipasangkan alatan tersebut," ujarnya.

Namun siapa sangka, usaha murni Norazam mendapat perhatian masyarakat walaupun dirinya bukanlah individu yang dikenali ramai.

Hasil usahanya itu membolehkan Norazam terpilih sebagai salah seorang wira menerusi kempen #BERSAMA 2.0 Spotlight on Heroes anjuran pemaju hartanah terkemuka, Sime Darby Property Berhad.



Kathy menunjukkan dedikasi sebagai salah seorang frontliner yang dalam masa sama merupakan ibu kepada dua cahaya mata.

Kempen yang dilancarkan bermula awal Disember 2020 itu bertujuan untuk memberi penghormatan dan penghargaan terhadap individu istimewa yang layak diangkat sebagai wira di atas pengorbanan dan sumbangan mereka ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Tambah Norazam lagi, beliau langsung tidak tahu mengenai kempen berkenaan dan lebih istimewa apabila pencalonannya datang daripada salah seorang stafnya.

"Saya benar-benar gembira kerana dicalonkan dan dipilih sebagai salah seorang wira BERSAMA.

"Saya selalu percaya bahawa saya dapat membuat perbezaan kepada mereka yang memerlukan dan amat berbangga dapat menyumbang kepada masyarakat.

"Pengiktirafan ini akan mendorong saya untuk menyumbang lebih lagi dan juga memberikan teladan yang baik kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Selain Norazam, seorang juru x-ray di bahagian Pengimejan Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kathy Wui juga diangkat sebagai wira dek komitmen serta dedikasinya mencurahkan bakti kepada masyarakat sekalipun turut terikat dengan tugas sebagai ibu kepada dua cahaya mata.

Terharu dengan penghargaan yang diterima, Khaty melihat inisiatif kempen #BERSAMA2.0 Spotlight on Heroes sebagai platform yang sangat bagus untuk menyebarkan aura positif.

"Ini dapat memberikan dorongan positif dan mempengaruhi seluruh komuniti agar sentiasa bersikap baik dan menyayangi komuniti di sekeliling kita kerana kita semua boleh melakukannya bersama," katanya yang berusia 37 tahun.

Sementara itu seorang lagi wira yang terpilih, Subramaniam Krishnan tidak menyangka diberi penghargaan yang sungguh bermakna tambahan pula dirinya tidak pernah mengharapkan balasan selama lebih 30 tahun terlibat dalam kerja sukarelawan.



Subramaniam mencurahkan bakti dengan menjalankan kerja sukarelawan ketika pandemik Covid-19 iaitu menyalurkan bantuan makanan serta barangan keperluan kepada golongan yang terjejas.

Subramaniam, 56, banyak menghabiskan masanya dengan membekalkan barangan keperluan berupa makanan kepada golongan yang memerlukan termasuk gelandangan sewaktu pandemik Covid-19.

"Ini merupakan penghargaan dan sokongan bagi saya kerana tak pernah dalam lebih 30 tahun buat kebajikan, saya menerimanya. Saya memang suka terlibat dengan kerja kebajikan sejak kecil.

"Saya buka pusat untuk mengumpul barangan untuk diagihkan kepada insan kurang bernasib baik. Usah kita buang barangan yang tak diperlukan sedangkan ramai lagi insan memerlukannya," katanya.

Ini hanyalah tiga kisah wira daripada beratus-ratus pencalonan yang diterima penganjur.

Untuk rekod, sejak kempen ini diwar-warkan, ia mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada masyarakat berbilang kaum dan bangsa.

Buktinya, lihat saja pada platform digital karya bersama (co-creation), dtoIDEAS, di mana pelbagai kisah penuh inspirasi dikongsikan di halaman ini.

Ada yang mencalonkan ahli keluarga, rakan-rakan, jiran mahupun pemimpin masyarakat untuk diangkat sebagai wira kerana sumbangan serta bakti individu ini ketika rata-ratanya sedang berdepan dengan tempoh yang sukar sewaktu pandemik Covid-19.



Pengarah Urusan Sime Darby Property Group, Datuk Azmir Merican turut melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima menerusi kempen #BERSAMA 2.0 Spotlight on Heroes.

Kempen #BERSAMA 2.0 Spotlight on Heroes telah memilih seramai 30 individu bertuah sebagai wira untuk memenangi hadiah istimewa yang ditawarkan. Penganjur juga telah memperkenalkan kategori khas iaitu BERSAMA Golden Pass Heroes kepada wira yang terpilih.

Pengarah Urusan Sime Darby Property Group, Datuk Azmir Merican, turut melahirkan rasa gembira dan teruja dengan sambutan luar biasa yang diterima menerusi kempen ini.

Menurutnya, pelbagai kisah penuh inpirasi, jujur dan begitu menyentuh hati dikongsi oleh masyarakat menerusi kempen ini.

"Kami memulakan kempen ini untuk meraikan individu-individu luar biasa yang menyerlahkan sikap baik hati, tidak kira seberapa besar atau kecil, namun yang pastinya ia telah mempengaruhi kehidupan orang-orang di sekeliling mereka yang terjejas ketika waktu sukar ini.

"Sudah tentu kami gembira kerana kempen ini mendapat sokongan luar biasa orang ramai. Kisah-kisah yang kami terima begitu jujur, penuh inspirasi dan sangat menghargai individu yang memberikan pertolongan tanpa mengharapkan balasan," ujarnya.

Dalam pada itu, Azmir turut merakamkan ucapan penghargaan buat semua yang mengambil bahagian dalam mencalonkan dan berkongsi kisah wira masing-masing sekaligus memberikan inspirasi kepada masyarakat.

Bagaimanapun tambah beliau, majlis gilang gemilang untuk meraikan wira terpilih sebagaimana yang dijadualkan berlangsung akhir Januari di Kuala Lumpur Golf and Country Club Resort (KLGCC) terpaksa dibatalkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes Covid-19.

"Bagaimanapun sesuatu yang istimewa tetap menanti para wira yang terpilih. Saya berharap pemenang dapat menikmati hadiah istimewa kami, yang sebahagiannya ditaja khas oleh Auto Bavaria (BMW) dan MST Golf.

"Ucapan terima kasih juga buat penaja, Auto Bavaria (BMW) dan MST Golf, dan rakan media kami Star Media Group Bhd kerana telah membantu dalam memenuhi hasrat kami untuk menghargai individu yang memberi inspirasi di negara ini.

"Kami di Sime Darby Property berharap dapat bekerjasama dengan rakyat Malaysia dalam kempen yang lain pada masa depan yang akan memberi inspirasi kepada negara, membangunkan harapan dan menyebarkan kebaikan di negara ini," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain