suria

Hentikan tohmahan... Proklamasi Darurat untuk bendung Covid-19, tiada tujuan lain - PM

Muhyiddin menyampaikan perutusan mengenai penjelasan Proklamasi Darurat, pada Khamis.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan tidak berasas terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan Proklamasi Darurat.

Menerusi perutusan khas mengenai penjelasan Proklamasi Darurat yang disiarkan secara langsung pada petang Khamis, Muhyiddin berkata keputusan baginda dibuat selepas berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan jemaah menteri.

Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah pada 12 Januari lalu memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos, minta rakyat bertenang

"Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh baginda adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

"Tindakan serta merta sedang diambil oleh kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa.

"Proklamasi Darurat oleh Baginda tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat," ujarnya.

Malah ujar Muhyiddin, beliau sendiri akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak Covid-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum selamat untuk diadakan.

Tambah Muhyiddin, walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, beliau yakin bahawa baginda sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara.

"Saya menyeru rakan-rakan saya baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

"Kerajaan telah mengumumkan pelanjutan PKP sehingga 18 Februari 2021. Dalam tempoh dua minggu ini, kerajaan akan memantau perkembangan kes-kes harian Covid-19 mengikut sektor dan lokaliti serta menilai semula keberkesanan PKP yang dilaksanakan," katanya.

Katanya, langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan adalah berasaskan kepada matlamat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup dan melindungi nyawa rakyat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain