suria

Hampir 30 peratus pekerja tak pakai pelitup muka, CIDB arah tapak binaan ditutup

Fadillah (kiri) ketika membuat lawatan mengejut di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur. foto facebook Fadillah Yusof

HAMPIR 30 peratus pekerja di tapak binaan projek pangsapuri servis di Kepong, di ibu negara tidak memakai pelitup muka.

Susulan itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan arahan menutup tapak pembinaan itu kerana gagal mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP).

Operasi tapak pembinaan yang tidak mematuhi SOP itu dikesan melalui operasi mengejut dilakukan Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid; Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan, Zainora Zainal dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Che Awang.

Fadillah berkata, pemeriksaan JTK juga mendapati penempatan pekerja di tapak pembinaan itu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Ia didapati tidak mematuhi SOP, seperti 30 peratus tidak memakai pelitup muka, dan pengambilan suhu tidak direkodkan.

"CIDB telah mengeluarkan arahan tutup tapak kepada tapak pembinaan terbabit," kata beliau dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan, tiga tapak pembinaan di sekitar pusat bandar raya diperiksa dalam operasi itu bagi memantau pematuhan SOP dan pengurusan penempatan pekerja terutama ketika pandemik.

Fadillah berkata, lawatan mengejut ke tapak pembinaan kedua melibatkan pembinaan pangsapuri mewah di Kuala Lumpur, didapati mematuhi SOP tapak pembinaan tetapi tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan di dalam Akta 446 untuk penempatan pekerja yang disediakan.



Fadillah (kiri) membuat pemeriksaan terhadap penempatan pekerja. foto facebook Fadillah Yusof

Beliau menambah penempatan tersebut tidak mendapat kelulusan DBKL untuk pembinaannya, menyebabkan kontraktor terbabit diberi amaran dan tempoh masa 14 hari untuk memperbaiki keadaan tersebut.

"Kontraktor ini perlu mendapatkan kelulusan DBKL. Jika gagal, tapak berkenaan akan diarah tutup," katanya.

Sementara itu, kata beliau, sebuah lagi tapak pembinaan, di Kuala Lumpur menerusi pemeriksaan yang dilakukan, didapati mematuhi SOP sepenuhnya.

Sehubungan itu, Fadillah mengingatkan kepada semua pihak di sektor pembinaan supaya memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 di tapak projek masing-masing dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Hanya dengan kerjasama ini kita dapat memastikan aktiviti pembinaan dapat diteruskan bagi menyokong kelangsungan sektor ekonomi negara.

"Ia tanggungjawab kita bersama, untuk menyelamatkan rakyat dan negara dari Covid-19. Bersama-sama kita jaga kita, untuk memastikan kita menang dalam melawan Covid-19, demi kelangsungan kehidupan dan kesihatan rakyat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain