KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa pemohon kemudahan i-Sinar untuk menyemak semula status permohonan mereka mulai pukul 8 pagi Isnin (8 Februari), berikutan sistem tersebut berdepan masalah teknikal. Memetik laporan Astro Awani, KWSP mengeluarkan kenyataan itu beberapa jam selepas banyak permohonan untuk i-Sinar Kategori 2 diluluskan, Ahad malam. Menerusi posting di media sosial, KWSP memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Sebahagian pengguna yang terkesan akibat masalah teknikal itu berkongsi pengalaman mereka di laman Facebook KWSP bahawa status mereka 'diluluskan' berubah menjadi mesej yang menunjukkan ia masih diproses. Posting tersebut menarik lebih 14,000 komen dengan kebanyakan menyuarakan kekecewaan mereka dan mendakwa KWSP memberi mereka harapan palsu. Dalam kenyataan yang berasingan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai bahawa permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) adalah percuma. Ia mengeluarkan kenyataan tersebut susulan menerima aduan terdapat pihak yang mengenakan caj kepada pemohon. LHDN menegaskan bahawa mereka tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk memberikan khidmat pengisian borang BPR itu. "Setiap permohonan yang diterima secara dalam talian mahupun borang kertas, disemak mengikut prosedur ditetapkan serta tiada keistimewaan diberikan," tambah kenyataan itu. - The Star Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!