suria

Saluran DidikTV KPM mula bersiaran Rabu depan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan DidikTV KPM pada hari pertama siarannya.

KOMITED meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM.

Menerusi kenyataan KPM, saluran ini akan memulakan siaran pertamanya pada 17 Februari ini.

"Saluran ini akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pertama siaran jam 8 pagi," kata kenyataan itu pada Jumaat.

DidikTV KPM bersiaran bermula jam 7 pagi sehingga jam 12 tengah malam setiap hari.

"Sebelum ini, KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO, dan DidikTV@ntv7.

"Kini, buat pertama kalinya KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari 7 pagi sehingga 12 tengah malam," katanya.

Menurut kenyatan itu, DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran NTV7 di TV Unifi.

Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena pula, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

Dalam pada itu, katanya, DidikTV akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

"Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) dan kandungan yang dihasilkan oleh murid serta program antarabangsa yang bersesuaian turut disiarkan," ujarnya.

Menurut kenyataan itu, KPM sentiasa komited dalam memastikan DidikTv merupakan satu platform yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

DidikTV KPM, TV Pendidikan

Artikel Lain