suria

Taktik tak berjaya, wanita kantoi sorok anak dalam but kereta ketika cuba rentas daerah

Remaja berusia 14 tahun bersembunyi dalam but kereta yang dipandu ibu tirinya. Foto: Sinar Harian

SEPANJANG pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai helah yang digunakan orang ramai untuk melepaskan diri daripada sekatan jalan raya.

Dalam kejadian yang berlaku petang Rabu di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), seorang wanita dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila menyembunyikan anak tirinya di dalam but kereta untuk merentas daerah.

Cubaan wanita tersebut bagaimanapun gagal selepas dikesan polis dalam sekatan jalan raya di BKE.

Wanita berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja bersama rakan anak tirinya datang dari arah Butterworth menuju ke sebuah pasar raya di Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika pemeriksaan anggota polis mendapati wanita itu kelihatan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan di bahagian but belakang menemui anak tirinya berusia 14 tahun sedang baring menyembunyikan diri dan memberikan alasan tindakan itu hanya untuk mengelak daripada ditahan berikutan melanggar SOP PKP.

"Mereka memberi alasan mahu ke pasar raya untuk membeli pakaian.

"Bagaimanapun wanita berkenaan gagal menunjukkan permit pergerakan merentas daerah dan dikompaun kerana ingkar dengan SOP PKP," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Shafee berkata, tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, manakala anak tiri dan rakannya diberikan amaran kerana masih di bawah umur.

Katanya, mereka juga telah diarahkan berpatah balik setelah tindakan kompaun diambil. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain