suria

Akhirnya kumpulan pertama vaksin Covid-19 tiba di Malaysia pagi ini

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di KLIA, pagi Ahad melalui penerbangan MH604.

KUMPULAN pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor, pada pagi Ahad.

Pesawat melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 itu selamat mendarat di KLIA, kira-kira pukul 10.10 pagi.

Penerbangan tersebut dikendalilkan oleh MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo).

Kesemua 312,390 dos vaksin itu diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.

Perjalanan vaksin tersebut dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.

Antara kenamaan yang menyaksikan ketibaan vaksin di KLIA adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada Isnin pagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan laman sesawang www.VaksinCovid.gov.my di mana program berkenaan akan bermula 26 Februari ini.



Kumpulan pertama vaksin Covid-19 tiba di Malaysia.

Awal bulan ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, kerajaan akan memulakan program tiga fasa itu dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu.

Sementara itu, fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

Pada 8 Januari lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar oleh NPRA, sekali gus memberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.

Selain Malaysia, 49 negara lain turut memberi kelulusan terhadap vaksin berkenaan dengan sebahagian negara terbabit telah mula menggunakan vaksin itu.

Untuk rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin Covid-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain