suria

Rentas negeri: “Jika ada keperluan mendesak, jumpa polis” – Ismail Sabri

Sekatan jalan raya yang diadakan bagi mengawal pergerakan merentas negeri. foto FAIHAN GHANI/The Star

KERAJAAN masih belum membenarkan rentas negeri di seluruh negara termasuk negeri berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media, petang Selasa.

Beliau berkata, sebarang keputusan baharu akan diumumkan dua hari sebelum tamat tempoh PKP, PKPB dan PKPP pada 4 Mac depan.

"Mereka boleh merentas daerah dan negeri dengan kebenaran polis.

"Jika ada keperluan mendesak, jumpa pihak polis dan saya percaya polis akan memberikan kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberi kelonggaran dengan membenarkan rentas negeri di beberapa negeri berstatus PKPB yang mencatatkan penurunan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Ismail Sabri berkata, larangan merentas daerah dan negeri yang dilaksanakan kerajaan berjaya menurunkan kes harian positif Covid-19.

Terdahulu, sebanyak 19 kluster yang berpunca dari merentas negeri dikesan sejak 7 Disember 2020 hingga 16 Januari 2021.

Pada masa ini, negeri-negeri yang berstatus PKPB adalah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, termasuk Sarawak.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

rentas negeri, rentas daerah, PKP, PKPB, PKPP,

Artikel Lain