suria

Didakwa siar posting ‘sugar baby’, pengasas Sugarbook mengaku tidak bersalah

Chan Eu Boon (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam. foto Sinar Harian

SEORANG pengasas Sugarbook dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan laman web yang menyiarkan hantaran bertajuk 'Top 10 Sugar Baby University In Malaysia' sehingga menimbulkan kegentaran awam, dua minggu lalu.

Chan Eu Boon, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang bekerja sebagai usahawan perniagaan teknologi maklumat (IT) tiba di mahkamah pukul 9.40 pagi dengan memakai baju kemeja kelabu, didakwa atas tuduhan itu dengan niat menyebabkan ketakutan kepada orang awam akan terdorong melakukan kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan semula pengasas Sugarbook

ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima laporan IPTA, buka kertas siasatan isu 'sugar baby'

Kesalahan berlaku pada 10 Februari jam 10 pagi dan hantaran itu dilihat di sebuah universiti di Shah Alam pada hari sama pukul 6.26 petang.

Bagi kesalahan tersebut, ia didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Ashraf Anuar Sharuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000.

"Ini kerana kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.

"Aplikasi itu kemudiannya boleh dilihat oleh orang awam sehingga menyebabkan kegentaran," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, T Shashi Devan dan Pauling Hee membantah cadangan ikat jamin itu kerana kadar itu tidak munasabah serta terlalu tinggi.

Shashi Devan berkata, anak guamnya yang masih bujang, tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri maka memadai untuk mahkamah memberi ikat jamin pada kadar lebih rendah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabreena membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tertuduh yang berasal dari Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan di ibu negara pada pukul 4.30 petang, 17 Februari lalu.

Baru-baru ini, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan negara ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain