KUMPULAN Star Media Bhd (SMG) mengumumkan Datuk Fu Ah Kiow telah meletak jawatan sebagai Pengarah dan Pengerusi kumpulannya. Dalam satu kenyataan, SMG berkata pengunduran Fu yang juga Pengerusi bukan eksekutif bebas, berkuat kuasa mulai 1 Mac 2021 dan ia akan mengambil tindakan yang perlu untuk mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut secepat mungkin. Sementara itu Fu berkata perkhidmatan di SMG merupakan satu penghormatan buat dirinya dan beliau turut menzahirkan penghargaan buat semua pengarah, staf pengurusan dan kakitangan atas sokongan serta kerjasama selama tempoh dia berkhidmat sebagai Pengerusi. Fu yang memaklumkan pengunduran dirinya kepada syarikat dalam pertemuan yang diadakan pada 25 Februari 2021 mengatakan sudah tiba waktunya untuk beliau memberi laluan kepada kepemimpinan baharu, selain ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya. Tambahnya, menerusi penstrukturan yang dilakukan, SMG kini memiliki pasukan pengurusan atasan yang berkebolehan dan segar dengan pelantikan Alex Yeow Wai Siaw sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu. Beliau turut melahirkan keyakinannya bahawa penstrukturan yang dilakukan akan memacu syarikat ke tahap yang baru. Dengan pengunduran tersebut, Fu juga meletak jawatan sebagai ketua Star Foundation, sebuah badan amal SMG. Fu dilantik menjadi pengarah bebas eksekutif SMG pada 27 Februari 2014 dan telah menjadi Pengerusi sejak 21 Mei 2014. Lembaga pengarah SMG mengucapkan ribuan terima kasih kepada Fu atas sumbangannya kepada kumpulan itu. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!