KERAJAAN mengumumkan operasi perniagaan di seluruh negara dibenarkanbermula dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam, bermula 5 Mac ini. Ia berikutan tiada lagi negeri berada dalam status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tarikh itu. ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Selangor, W.Persekutuan, Johor, P.Pinang berstatus PKPB... rentas negeri masih tak dibenarkan! - Ismail Sabri Pengumuman itu dibuat oleh oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media pada Selasa petang. Ia sekali gus bermakna kedai makan dan restoran juga boleh dibuka sehingga pukul 12 malam. "Perniagaan di kawasan PKPB (PKP Bersyarat) dan PKPP (PKP Pemulihan), seperti yang saya umumkan, ia boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam. "Dari segi pelancongan pun, dibuka dari 6 pagi hingga 12 malam, ataupun mengikut ketetapan oleh Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah. "Kalau katakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam lesen mereka menetapkan hingga pukul 2 atau 3 pagi, kita hadkan kepada pukul 12. "Kalau PBT tetapkan sampai pukul 10, maka mereka perlu patuh kepada peraturan ditetapkan atau tindakan boleh diambil kepada premis yang beroperasi lebih masa ini," ujarnya. Berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) hal itu, Ismail Sabri berkata ia boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagaimana diumumkan sebelum ini. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!