suria

Sebak! Hasrat mangsa jejambat runtuh miliki kereta tak kesampaian

Anggota Bomba dan Penyelamat dilihat membawa mangsa yang meninggal dunia akibat dihempap sebahagian struktur jejambat yang runtuh pada petang Rabu. Foto: Bernama

IMPIAN seorang pekerja kilang untuk memiliki sebuah kereta bagaimanapun tidak kesampaian selepas dia terbunuh dalam insiden runtuhan jejambat di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), petang Rabu.

Mangsa, Nuriana Edwin Abdullah, 47, disahkan maut di tempat kejadian selepas van kilang yang dinaiki bersama empat individu lain dihempap runtuhan binaan berkenaan ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Turut maut adalah rakannya Norhayati Abdullah, yang berusia 42 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua mangsa terperangkap dalam insiden jejambat runtuh maut di tempat kejadian - Polis

Menurut abang ipar Nuriana, Muhammad Raffidin Mohd Jufri, keluarganya diberitahu mengenai kemalangan tersebut selepas seorang jurujual syarikat kereta menghubungi seorang ahli keluarganya di Balakong.

"Kami terakhir bertemu tiga hari yang lalu ketika dia datang untuk makan bersama. Dia menabung untuk membeli kereta,"katanya ketika ditemui di luar bilik mayat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Ujarnya, jenazah Nuriana akan dikebumikan di Lundu, Sarawak, selepas bedah siasat selesai.

Dalam kejadian yang berlaku pada petang Rabu, sebuah lori treler terbabas lalu melanggar perancah besi struktur jejambat yang sedang dalam pembinaan, berhampiran Bandar Tasik Selatan.

Pelanggaran tersebut menyebabkan struktur jejambat runtuh dan menghempap sebuah van kilang.

Pasukan penyelamat mengambil masa hampir empat jam untuk mengeluarkan lima mangsa yang terperangkap dalam van tersebut.

Pemandu treler berkenaan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain