suria

Usahawan wanita raih RM300,000 dalam masa 2 minggu, Mara pertimbang tingkat had pembiayaan RM50,000

Usahawan dalam bidang bakeri boleh mencapai pendapatan RM300,000. -gambar hiasan foto http://faridatulaznaismail.blogspot.com

RAIH pendapatan sehingga RM300,000 dalam masa dua minggu bukanlah sesuatu yang mustahil bagi seorang usahawan wanita!

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd Dun yang berbangga dengan usaha dan pencapaian usahawan wanita di negara ini, terutama yang menggunakan peluang dan kemudahan yang ditawarkan agensi tersebut.

"Mereka ini begitu cergas, komited untuk terlibat dalam keusahawanan dalam negara kita ini dan saya rasa bangga sekali.

"Sebagaimana terbukti hari ini kita ada usahawan dalam bidang bakeri yang dalam masa dua minggu saja boleh mencapai pendapatan RM300,000... jual roti sahaja," katanya pada majlis sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Mara, Isnin.



Azizah ketika menyampaikan ucapan pada majlis sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Mara.

Melihat perkembangan ini, Azizah berkata, Mara boleh mempertimbangkan had pinjaman yang lebih tinggi di bawah Skim Pembiayaan Khas Usahawan Wanita (Dananita) yang mana had maksimum yang ditetapkan sebelum ini adalah RM50,000.

Jelasnya, sejak 2017 agensi itu telah membantu seramai 1,323 usahawan wanita bumiputera di seluruh negara di bawah dana tersebut dengan perbelanjaan sebanyak RM71.8 juta.

"Saya melihat dana maksimum RM50,000 ini boleh kita pertingkatkan kerana saya yakin wanita di luar sana mempunyai daya saing dan daya usaha untuk sampai ke peringkat lebih tinggi.

"Saya percaya ramai wanita mempunyai ilmu yang boleh kita bantu untuk lebih berjaya, boleh jadi jutawan wanita dalam negara dan Mara boleh bantu mereka dengan pinjaman lebih tinggi, bukan setakat RM50,000 saja," katanya.

Selain itu katanya, Mara juga menawarkan beberapa program khas lain untuk wanita seperti AORA SPA, Super Baker, Beauty in Business dan Mara in Fashion.



Suasana sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Mara yang berlangsung di ibu negara, Isnin.

Azizah berkata, walaupun berdepan pandemik Covid-19, situasi ini tidak dijadikan alasan untuk Mara terus membantu usahawan sedia ada dan mereka yang mahu mula menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

"Pendapatan kita mungkin berkurangan kerana membantu dari segi moratorium kepada penyewa dan mereka yang meminjam tapi ini bukani alasan untuk kita terus berusaha bantu para usahawan dan pelajar.

"Sekarang guna norma baharu secara online, perbelanjaan itu tak sama dengan face to face, perbelanjaan berkurang... banyak kita boleh lakukan.

"Oleh itu kita dapat beri ilmu baharu kepada peniaga-peiaga kita supaya mereka boleh promosi, menjual produk mereka secara online," katanya.

Dalam pada itu Azizah berkata, Mara juga mengadakan kerjasama dengan Shopee yang dijangka dapat membantu 500 usahawan serta mendapat manfaat daripada kerjasama ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain