SEORANG lelaki dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), selepas tidak mendaftar butirannya ketika memasuki sebuah kedai makan. Tular laporan menunjukkan kompaun yang dikeluarkan ke atas seorang individu, kerana gagal mengimbas menerusi aplikasi MySejahtera di sebuah restoran di Bukit Jali, pada Khamis. Bagaimanapun, media sosial mendakwa lelaki itu mendaftar butirannya dengan cara lain. Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pasukan petugas operasi pematuhan melakukan pemeriksaan di sebuah restoran di Bukit Jalil pada pukul 6.55 petang Khamis. "Pasukan petugas telah mengeluarkan kompaun terhadap seorang individu yang tidak mengimbas aplikasi MySejahtera atau mendaftarkan butirannya secara manual pada buku pendaftaran yang disediakan. "Kompaun berjumlah RM10,000 dikeluarkan kepada mereka yang melanggar SOP mengikut Ordinan Darurat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat. Mohamed Mokhsein menolak dakwaan bahawa individu tersebut sebenarnya telah menggunakan kaedah lain untuk mendaftarkan butirannya. "Dakwaan bahawa individu tersebut kononnya telah mendaftar menggunakan cara lain adalah tidak benar," tambah beliau. Dilaporkan mulai Khamis, kadar kompaun telah dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000 di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis hanya diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melanggar SOP Covid-19, tetapi jumlah sebenar akan diputuskan oleh pegawai kesihatan daerah (PKD) di bawah Kementerian Kesihatan. Beliau berkata, notis kompaun yang ditulis adalah bernilai RM10,000 jika melanggar SOP, namun ia bergantung kepada budi bicara PKD untuk menetap nilai sebenar kompaun yang dikenakan. - The Star Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!