suria

Gagal patuhi SOP Covid-19, 6 individu terima kompaun pada Jumaat

49 pendatang tanpa dokumen sah ditahan sementara sebuah kapal dan kenderaan darat disita pada hari ini. Foto: AZHAR MAHFOF/The Star

JUMLAH mereka yang dikompaun mencapai tahap terendah dengan hanya enam individu yang didenda pada hari Jumaat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Demikian kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 1,671 kes baharu, 4 lagi korban Covid-19

Ujarnya, antara kesalahan termasuklah gagal memakai topeng muka dan tidak mendaftarkan maklumat diri mereka ketika memasuki premis perniagaan.

"Pasukan petugas operasi pematuhan melakukan 67,207 pemeriksaan di seluruh negara pada hari Jumaat.

"Di antara lokasi yang diperiksa adalah 6,028 restoran, 4,711 pasar raya, 3,068 bank dan 2,459 kilang," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata 49 pendatang tanpa dokumen sah ditahan sementara sebuah kapal dan kenderaan darat disita pada hari ini.

"Pihak berkuasa melakukan 262 sekatan jalan raya di seluruh negara," tambahnya.

Sementara itu, 1,406 individu tiba di Malaysia pada hari Jumaat, katanya lagi.

"Secara kumulatif, 149,034 individu kembali ke Malaysia sejak 24 Julai tahun lalu.

"Sebanyak 6,671 orang masih menjalani kuarantin wajib, 141,273 telah dibenarkan discaj sementara 1,090 dihantar ke hospital untuk rawatan," tambahnya. - The Star.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain