PANDEMIK Covid-19 yang sudah melanda sejak setahun lalu ternyata membawa impak kepada industri-industri di negara ini. Di sebalik keresahan itu, industri perkayuan mencatatkan angka eksport yang menggalakkan iaitu sebanyak RM22.02 bilion sekali gus meletakkan ia di kedudukan ketiga sektor komoditi utama selepas minyak sawit dan getah. Malah, ia menurun hanya dua peratus daripada RM22.50 bilion sejak 2019. Lebih 50 peratus atau RM12.28 bilion daripada jumlah eksport kayu dan produk kayu dijana oleh tiga sektor hiliran, iaitu perabot (RM10.63 bilion) yang menjadi penyumbang utama tahun ini dengan kenaikan 16 peratus jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, BJC (RM971.75 juta) serta kayu kumai (RM687.89 juta). Didorong oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, sumbangannya yang signifikan terhadap produk keluaran dalam negara kasar yang bertindak sebagai salah satu tonggak kekuatan untuk menyokong ekonomi dalam tempoh getir ini. Malah, AS mengatasi Jepun sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia untuk produk berkaitan perkayuan untuk tahun kedua berturut-turut sejak 2019. Ia merupakan pasaran perabot terbesar di negara ini, menyumbang kepada 60 peratus daripada jumlah eksport perabot, dengan kenaikan 49.9 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan kenaikan sehingga RM7.45 bilion. "AS adalah pasaran utama perabot Malaysia dan eksport berjalan lancar walaupun terdapat halangan wabak Covid-19. Permintaan masih berterusan, terutamanya untuk segmen pasaran pertengahan dan kita banyak mengeksport kepada rantaian pengedaran seperti Walmart dan pengedar perabot lain, ” kata Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Mohd Kheiruddin Mohd Rani. Sementara itu, Jepun sebagai pasaran eksport papan lapis terbesar di Malaysia menyaksikan penurunan eksport 21.1 peratus kepada RM2.73 bilion kerana tahap stok papan lapisnya yang tinggi. Malah, China merekodkan kenaikan 23.2 peratus (RM2.25 bilion) sebagai pasaran ketiga terbesar di Malaysia untuk produk perkayuan, terutamanya kayu getah bergergaji. Tahun mendatang yang lebih terjamin Dalam menentukan hala tuju industri, sasarannya adalah bagi mencapai eksport sebanyak RM23 bilion pada tahun 2021. Sebagaimana tahun lalu, industri perkayuan Malaysia berusaha untuk terus menangani isu-isu yang berkaitan dengan perdagangan. Perang perdagangan AS-China dilihat sebagai peluang kepada pengeluar perabot, dengan mengisi jurang atau kekosongannya untuk pasaran ini. Kheiruddin berharap Jepun akan kembali meningkatkan import papan lapis Malaysia, dengan peningkatan import dari negara lain seperti India untuk kayu gergaji, papan dan produk panel, termasuk papan gentian kepadatan sederhana (MDF), dan papan serpai kerana ia adalah pasaran yang signifikan. Bagi pasaran Timur Tengah, industri ini mengekalkan jumlah eksport kayu bermutu rendah, tetapi pada paras harga stabil. Walaupun Kesatuan Eropah masih menjadi pasaran besar untuk kayu gergaji, syer pasaran eksport Malaysia menurun akibat persaingan daripada negara-negara Afrika. "Malaysia kehilangan pasaran secara perlahan-lahan daripada persaingan kayu Afrika. Harga kayu negara tidak begitu kompetitif disebabkan masalah logistik yang mana kos pengangkutan menyumbang kepada peningkatan harga kayu negara ini. "Selain itu, kita turut bersaing dengan kayu-kayu lembut dari Kanada, Finland, Rusia dan negara-negara Eropah yang lain," ujarnya. Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Mohd Kheiruddin Mohd Rani. Selain itu, beliau berharap industri ini dapat memanfaatkan penarikan diri United Kingdom (UK) daripada EU sebagai pasaran berasingan melalui peningkatan perdagangan dua hala untuk meningkatkan akses ke pasaran tersebut. Australia juga merupakan peluang yang baik sebagai pasaran yang berpotensi bagi produk kayu kumai. "Dengan semua petunjuk ini mengenai tindak balas terhadap pasaran kayu negara, diharap kita dapat segera menyertai pameran dan misi perdagangan serta kempen promosi antarabangsa, "Mudah-mudahan menjelang separuh kedua tahun ini, kita dapat mengatur beberapa misi perdagangan di luar negara, pemadanan perniagaan dan perbincangan meja bulat," katanya lagi. Menggerakkan industri kehadapan Kheiruddin juiga percaya, langkah seterusnya adalah dengan memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia (FTA) seperti Perjanjian Perkongsian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau yang telah ditandatangani, Kawasan Perdagangan Bebas Asean dan tujuh FTA serantau dengan sembilan FTA dua hala lain dengan pelbagai negara diharap dapat meningkatkan eksport kayu dan produk kayu ke negara berkenaan. Penyertaan negara dalam perjanjian perdagangan ini berupaya mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif untuk produk tertentu bagi pasaran tertentu dalam meningkatkan daya saing produk perkayuan Malaysia, jelasnya. Ia menjadi satu keperluan yang meningkat apabila halangan bukan tarif seperti dasar perolehan kebangsaan untuk pelbagai negara pengimport menghalang akses pasaran melalui keperluan legaliti kayu, pengesahan legaliti import, pelabelan eko serta pengurangan jejak karbon, penilaian kitaran hidup dan keperluan pematuhan lain yang ada. "Bagi mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini. MTIB telah meluluskan kajian yang akan dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia bersama persatuan industri perkayuan mengenai penilaian kitaran hidup supaya memperoleh fakta dan data untuk menangani dakwaan pembeli," ujarnya. Kos perkapalan telah meningkat secara mendadak sejak beberapa bulan lalu dengan kos penghantaran ke lokasi tertentu meningkat 100 peratus hingga 400 peratus, yang mana ianya menjadi cabaran buat pengeksport. Persaingan pasaran negara-negara jiran juga meningkat apabila negara seperti Vietnam dengan cepat telah meningkatkan kedudukan mereka dalam pasaran eksport perabot kerana kos pengeluaran yang rendah. Industri kayu Malaysia harus menangani masalah ini secara berterusan, salah satu caranya adalah dengan meningkatkan produktiviti dan kapasiti melalui automasi serta mekanisasi sejajar dengan Rrevolusi Industri Keempat (IR4.0). "Industri perlu bergerak ke arah automasi dan mekanisasi untuk menyesuaikan langkah menuju IR4.0. Pada masa ini, kita belum mencapai IR3.0, berbanding negara maju seperti Jerman dan Itali misalnya memiliki produktiviti yang sangat tinggi dalam automasi dan mekanisasi, ” katanya. Yang kedua, beralih daripada pengeluar peralatan asli (OEM) berdasarkan jumlah kuantiti kepada pengeluar reka bentuk asli (ODM) dan pengeluar jenama asli (OBM) yang bernilai lebih tinggi, di mana reka bentuk produk dan fokus pasaran akan meningkatkan daya saing. Melindungi sumber semulajadi Dalam usaha mengembangkan industri ini untuk menjadi teras ekonomi negara, pemeliharaan dan pemuliharaan hutan hujan tropika Malaysia dan ekosistem biodiversiti di dalamnya juga turut menjadi kepentingan utama. Terdapat juga inisiatif daripada sektor swasta untuk mewujudkan ladang hutan mereka sendiri. Ujar beliau, prestasi eksport industri 2020 adalah menggalakkan, tidak hanya dalam menghadapi cabaran tahun ini, tetapi juga dari segi kemajuan sejajar dengan polisi kerajaan di bawah Dasar Perindustrian Kayu Negara. Ia bertujuan mengurangkan eksport produk primer seperti kayu balak, misalanya pengeluaran kayu balak yang terhad dari Malaysia Barat iaitu hingga empat juta meter padu setahun disamping pada masa yang sama dapat meningkatkan eksport produk hiliran yang bernilai tambah tinggi. "Kita tidak dapat bergantung kepada sumber kayu dari hutan semula jadi kerana negara ini komited untuk mematuhi Deklarasi Rio yang mana hutan harus dilindungi dan perlu mengekalkan lebih 50 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah negara," ujarnya. Di bawah Dasar Agrikomoditi Negara untuk industri perkayuan, visinya adalah untuk mencapai nisbah pengeluaran 65 peratus produk hiliran dan 35 peratus produk primer menjelang 2025. Sebagai perbandingan, industri kayu Malaysia berada pada 56 peratus produk hiliran dan 44 peratus produk primer pada masa ini. Tambah Kheiruddin, industri kayu di Semenanjung kukuh dalam pemprosesan produk hiliran, manakala Sabah dan Sarawak turut menyasarkan aspek sama di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). Sarawak sudah menuju ke arah ini dan menyasarkan untuk mengeksport produk hiliran bernilai RM10 bilion seperti perabot menjelang pada tahun 2030. Walaupun pendirian ini telah menyebabkan kekurangan bahan mentah untuk industri kayu, langkah-langkah sedang diambil untuk menyelesaikan masalah ini, dengan menggalakan peningkatan import bahan mentah dalam jangka pendek, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) sumber bahan baharu dan pembangunan ladang hutan untuk penyelesaian jangka panjang. Terdapat dua objektif. Pertama, untuk meringankan beban hutan semula jadi negara dan juga menyediakan bekalan bahan untuk penggunaan industri secara berterusan dan mampan. "Untuk mengatasi kekurangan bahan mentah yang dihasilkan di dalam negara, import bahan mentah (untuk industri kayu) telah meningkat secara drastik dalam tempoh lima tahun terakhir ini, "Ini petanda yang sangat baik. Statistik menunjukkan bahawa import meningkat daripada RM2.95 bilion pada tahun 2014 menjadi RM6.81 bilion pada tahun 2020 (2019: RM5.95 bilion), ” katanya. Tambah beliau, Program Bantuan Import Majlis Kayu Kayan Malaysia turut membantu mengurangkan peratusan tertentu daripada kos perkapalan untuk mendorong pengimportan bahan mentah. Di peringkat tempatan, R&D mengenai bahan mentah alternatif telah dilaksanakan bagi mengurangkan sisa pertanian, terutamanya produk sampingan kelapa sawit iaitu batang kelapa sawit (OPT), dan juga produk bukan kayu iaitu buluh. Menurut Kheiruddin, perkembangan OPT sangat menggalakkan yang mana terdapat pasaran yang baik untuk produk venir papan lapis dan kayu venir kejuruteraan berlaminasi di luar negara. "Pada masa ini, kita masih belum menghasilkan pengeluaran secara banyak dan memerlukan lebih banyak pemain industri untuk menceburkan diri dalam pengeluaran OPT yang dapat digunakan untuk tujuan aplikasi, struktur di dalam dan luar rumah. "Ini akan membantu meningkatkan pengeluaran sektor kayu itu sendiri, serta mempelbagaikan rangkaian produk yang dapat kita hasilkan," katanya. Bagi pembangunan perladangan hutan, Program Pembangunan Ladang Hutan (FPDP) telah berjalan sejak tahun 2006 dengan peruntukan awal pinjaman berjumlah RM1.045 juta untuk membangunkan ladang hutan seluas 130.000 hektar. Walaubagaimanapun sebanyak 126,000 hektar telah dibangunkan sehingga kini. Penuaian dari FPDP ini akan bermula dalam masa dua tahun lagi, dengan 19 juta meter padu kayu balak dijangka dihasilkan melalui program ini untuk meningkatkan bekalan bahan mentah di pasaran tempatan. Di bawah RMK-12, RM500 juta lagi diperuntukkan untuk meneruskan FPDP sehingga 2025, dengan RM500 juta lagi diperuntukkan di bawah RMK-13 bagi mengekalkan program sama pada dekad berikutnya. Tambah Kheiruddin lagi, terdapat juga inisiatif daripada sektor swasta untuk mewujudkan ladang hutan mereka sendiri, terdapat sekitar 800,000 hektar termasuk yang dibangunkan oleh sektor swasta yang kebanyakannya berada di Sabah dan Sarawak. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!