POLIS kini memburu seorang penunggang motosikal yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang remaja ketika mangsa sedang berjalan bersendirian. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.40 pagi Khamis lalu di Lorong Limau Manis, Jalan Hamzah, Kota Bharu, remaja berusia 18 tahun itu dalam perjalanan menuju tempat kerja. Secara tiba-tiba mangsa dihampiri dari arah belakang oleh lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda C90 berwarna coklat. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa didakwa cabul anak 7 tahun di bilik tidur "Penunggang lelaki itu kemudian bertindak meraba bahagian punggung mangsa lalu memecut motosikalnya. "Kejadian menyebabkan mangsa membuat laporan polis pada hari sama,"katanya.Perbuatan itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan, kata Wan Khairuddin. Menurut beliau, hasil penelitian CCTV mendapati suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 40 hingga 50-an. Katanya, usaha giat dijalankan bagi mengesan suspek dan berdasarkan semakan nombor siri pendaftaran pemilik motosikal tersebut berasal dari Kuala Lumpur. "Berkemungkinan motosikal itu sudah dijual, namun nama pemilik belum ditukar,"katanya. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengenali suspek menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. - SINAR HARIAN Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!