suria

Setahun ditangguh akibat pandemik Covid-19, Perhimpunan Agung Umno bermula hari ini

Perhimpunan agung kali ini diadakan secara bersemuka dan maya.

SELEPAS setahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang berlangsung selama dua hari bermula pada Sabtu.

Perhimpunan bermula pada jam 8.35 pagi yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada Sabtu secara serentak.

Penganjuran kali ini menjadi perhatian dan dilihat penting untuk Umno dalam menentukan hala tujunya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini termasuklah untuk mendapatkan keputusan sebulat suara perwakilan terhadap ketetapan yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno iaitu untuk tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15.

Selain isu memutuskan kerjasama dengan Bersatu, turut diberikan tumpuan adalah mengenai pendirian Umno terhadap Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama Pas.

Perhimpunan agung kali ini diadakan secara bersemuka dan maya selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain