suria

Kes VVIP langgar SOP, polis buka 12 kertas siasatan

Huzir Mohamed (gambar fail) memberi penjelasan berhubung kes pelanggaran SOP melibatkan VVIP. foto LOW BOON TAT/ The Star

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebanyak 12 kertas siasatan dibuka melibatkan golongan VVIP yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, bagaimanapun tiga daripadanya tidak diambil tindakan kerana siasatan mendapati individu yang terlibat berada dalam tugasan rasmi serta mengikuti SOP ditetapkan.

"Berkenaan kononnya polis tidak ambil tindakan terhadap VVIP, saya nak nyatakan polis menjalankan siasatan terhadap kesemua kes yang diterima dan dilaporkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu 'double standard' selebriti pergi bercuti, ini jawab Ismail Sabri

ARTIKEL BERKAITAN: Rentas negeri masih tidak dibenarkan, 6 negeri kekal PKPB - Ismail Sabri

"Dari awal PKP dikuatkuasakan, terdapat 12 kertas siasatan dibuka dan ada dalam kalangan VVIP ini telahpun dikompaun serta membayar kompaun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di Nilai, pada Rabu.

Selain itu, berkenaan laporan terhadap pelanggaran SOP pada majlis perkahwinan melibatkan anak seorang ahli Parlimen di sebuah hotel di Seremban, beliau berkata, ahli Parlimen berkenaan telahpun memberi keterangan kepada polis pada Selasa dan keterangan daripada pihak hotel telahpun dirakam.

Huzir berkata, pegawai yang menjalankan siasatan akan mengambil tindakan sewajarnya jika betul berlaku pelanggaran SOP.

"Berkenaan laporan terhadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan melanggar SOP ketika mengadakan lawatan di Kem Sendayan, Seremban, kita akan merakam keterangan penganjur majlis.

"Kita juga akan merakam percakapan Ketua Polis Daerah Brickfields (Asisten Komisioner Anuar Omar) yang mengesahkan program berbasikal dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin pada 13 Mac lalu mendapat kebenaran untuk dilaksanakan dan mengikut SOP," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, indeks jenayah negara pada tahun lalu menunjukkan penurunan 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Ada pelbagai sebab indeks jenayah menurun antaranya pelaksanaan PKP menghadkan pergerakan dan kehadiran pihak berkuasa serta lain-lain agensi di merata tempat.

"Sepanjang PKP, polis juga tidak berhenti menjalankan operasi tangkapan jenayah yang dikenal pasti," katanya. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain