suria

Tragis! Ibu mangsa kelar simpan paru-paru anak untuk dikebumikan bersama jenazah

Seorang lelaki berusia 26 tahun maut kerana dikelar dan ditikam, pagi tadi. Gambar hiasan

IBU kepada lelaki yang ditemukan mati dengan kesan kelar di leher serta tikaman di rusuk kanan pada pagi Jumaat, sempat menyimpan cebisan paru-paru anaknya supaya dapat dikebumikan bersama jenazah.

Samsinar Bujang yang mengimbas kembali insiden tragis tersebut berkata, dia pada mulanya terdengar suara perempuan menjerit dengan kuat.

Menurut wanita berusia 63 tahun ini, ketika itu dia sedang mengambil wuduk untuk solat Subuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas positif Covid-19 ditemui mati dengan kesan kelar di rumah

"Saya sangka jeritan itu dari highway berdekatan kerana tidak mungkin anak saya yang menjerit," katanya.

Bagaimanapun kata Samsinar, anak sulungnya Rudiriadi Rusli, 41, keluar rumah selepas mendapati isteri mangsa menjerit meminta tolong.

Menurutnya, Rudiriadi kemudian ternampak adik lelakinya yang berusia 26 tahun terbaring di tepi jalan depan rumah dan dia kemudiannya bergegas membawa mangsa yang sedang nazak ke hospital dengan kereta manakala Samsinar mengikutnya dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia.

"Mak cik melihat mayatnya dan sempat menciumnya. Mak cik lap darah di kaki dan nampak kesan kelar di leher dan dadanya.

"Ketika itu ada cebisan paru-paru dan mak cik simpan untuk dikebumikan bersama jenazah," katanya.

Tambah Samsinar, mangsa dan isteri serta seorang anak tinggal bersama-samanya di Kampung Desa Makmur, Majidee, Johor Bahru, dan sebelum kejadian pasangan tersebut tidak mempunyai masalah.

Turut mendiami rumah tersebut adalah tiga lagi anak-anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, hasil pemeriksaan polis menemukan sebilah pisau pemotong kertas satu serpihan mata pisau di tempat kejadian.

"Pihak polis sudah menahan isteri mangsa untuk membantu siasatan. Soal siasat akan dilakukan bagi mengetahui motif kejadian tersebut dan saksi bebas akan dikesan bagi membantu siasatan," katanya. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain