suria

Notifikasi janji temu fasa kedua suntikan vaksin Covid-19 bermula hari ini - Khairy

Penerima vaksin akan menerima notifikasi 14 hari sebelum janji temu. foto AZHAR MAHFOF/The Star

NOTIFIKASI janji temu bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dihantar bermula Isnin (5 April).

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, penerima dalam fasa kedua akan menerima notifikasi 14 hari sebelum janji temu mereka.

"Kita berharap mereka akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi janji temu mereka bagi mengelakkan pembaziran vaksin," katanya pada sidang media mingguan mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pada Isnin.

Fasa kedua program imunisasi akan bermula pada 19 April depan dan akan merangkumi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, berpenyakit kronik dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Fasa kedua akan bermula di Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Labuan sebelum dimulakan di negeri-negeri lain beberapa hari selepas itu.

Khairy berkata, setelah dimaklumkan mengenai janji temu, penerima juga akan diingatkan sebanyak dua kali mengenai perkara itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan, sambil menambah bahawa penerima masih diberi pilihan untuk bersetuju dengan janji mereka atau menolaknya.

"Peringatan pertama akan dihantar tiga hari sebelum janji temu dan yang kedua akan dihantar sehari sebelumnya. Setelah mereka bersetuju dengan janji temu, kehadiran adalah wajib kerana proses imunisasi telah dirancang, jadi saya harap semua janji temu disimpan," katanya

Dalam pada itu, Khairy berkata, ketidakhadiran akan menyebabkan pembaziran kerana vaksin tidak dapat dikembalikan ke tempat simpanan setelah dikeluarkan. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain