suria

Dugaan Ramadan... bapa hanya mampu peluk anak, azan sekuat hati ketika bumbung rumah diterbangkan angin kencang

Antara rumah penduduk Kampung Tasek, Ipoh yang rosak teruk dalam kejadian ribut kencang pada petang Rabu. Foto: Ronnie Chin/The Star

KEBELAKANGAN ini, hujan lebat dan ribut petir semakin kerap berlaku di negara ini sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda dan bencana.

Tiada apa yang dapat dilakukan apabila rumah yang dianggap sebagai tempat berlindung musnah akibat angin ribut yang kuat.

Apa yang mampu dilakukan hanyalah berdoa kepada Allah agar dilindungi daripada musibah.

Itulah yang berlaku ke atas keluarga Shahrul Hisham Saharin, 49, apabila rumahnya yang terletak di Kampung Tasek, Ipoh, rosak teruk akibat hujan lebat dan ribut kencang

Dalam kejadian itu, kira-kira 105 buah rumah terjejas akibat ribut kencang yang berlaku pada petang Rabu.

Menurut Shahrul, ketika kejadian yang berlaku sekitar pukul 3 petang, dia sedang berehat bersama anak-anak apabila tiba-tiba bumbung rumahnya tercabut diterbangkan angin kencang.

"Selepas bumbung tercabut, saya peluk kuat-kuat isteri dan anak-anak dalam keadaan lencun sambil azan sekuat hati. Ketika itu saya berserah kepada Allah apa akan jadi pada kami.

"Saya anggap apa yang berlaku ini sebagai dugaan Ramadan buat kami sekeluarga. Syukurlah kami semua selamat cuma rumah sahaja rosak teruk," katanya.

Tiada apa-apa barang yang dapat diselamatkan kerana ketika itu dia lebih bimbangkan keselamatan empat anak perempuan termasuk seorang berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Selepas keadaan reda, anak istimewanya itu diangkat masuk ke dalam kereta manakala yang lain duduk di bahagian parkir sementara menunggu bantuan. Kini mereka sekeluarga tinggal di inap desa berhampiran sehingga rumah tersebut dibaiki.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran, turut meninjau kawasan bencana ribut itu dan berkata, pihaknya akan melihat keperluan penduduk untuk disalurkan kepada agensi berkaitan.

Menurutnya, sehingga kini satu pusat pemindahan sementara dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek bagi menempatkan mangsa yang terjejas teruk.

Kula Segaran berkata, pihaknya juga akan membuka kaunter bergerak sementara di kampung tersebut bagi membolehkan penduduk membuat sebarang aduan dan masalah berkaitan bencana itu. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain