suria

Berita baik! 500,000 guru akan diberi keutamaan sama dengan penerima vaksin fasa kedua

Golongan guru akan disenaraikan dalam penerima vaksin fasa kedua. foto AZHAR MAHFOF/The Star

GURU akan diberikan keutamaan yang sama dengan penerima vaksin lain yang layak dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras program itu berkata, Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 telah menetapkan bahawa guru-guru akan diberi keutamaan yang sama seperti warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pesakit kronik pada fasa kedua.

"Ini akan melibatkan 500,000 guru, di sektor awam dan swasta di seluruh negara," katanya pada Isnin.

Khairy berkata, keputusan itu dibuat setelah menilai risiko pendedahan dan jangkitan di sekolah.

"Bila kita ada kapasiti, kita akan mula senaraikan guru-guru. Kementerian Pendidikan menyenaraikan nama-nama," katanya.

Khairy turut menambah, vaksin akan diberikan kepada atlet yang mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa.

"Ini di bawah kategori kepentingan negara dan kita telah melihat ini berlaku di negara-negara lain seperti New Zealand yang membolehkan atlet mereka yang bertanding di Olimpik untuk mendapat suntikan awal.

"Malaysia juga mengambil pendekatan sama," katanya, sambil menambahkan beberapa atlet negara telah diberi suntikan vaksin ketika mereka bertanding di pusingan kelayakan. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain