KISAH tiga peniaga menerusi tiga kes berbeza yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 hangat diperkatakan netizen. Selain menzahirkan rasa simpati, ada juga yang berang atas nilai tinggi yang dikenakan itu. ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga kedai runcit pula kena kompaun RM50,000 – “Hutang sedia ada pun belum dapat bayar” Terbaharu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) membuka tiga kertas siasatan melibatkan tiga peniaga yang dikompaun sebanyak RM50,000 pada Ahad lalu. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan lanjut dengan polis Kelantan pada Rabu melibatkan kes-kes yang berkenaan. Menurutnya, kertas siasatan tersebut dibuka bagi melihat secara terperinci berkenaan kompaun dan juga rayuan yang dikemukakan tiga peniaga yang terlibat. “Kertas-kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut manakala jumlah pengurangan nanti akan dimaklumkan pihak KKM selepas ia dibincangkan, ” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis. Menurutnya, peniaga lain yang turut dikenakan kompaun boleh membuat rayuan yang sama dan kemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing untuk tindakan selanjutnya. Beliau menegaskan, pegawai-pegawai penguat kuasa akan terus memantau kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 yang tinggi di negeri ini. “Setiap hari kita dapat lihat statistik harian Covid-19 Kelantan menunjukkan angka yang tinggi dan membimbangkan. Maka saya menyarankan agar semua rakyat terus patuh arahan dan jaga diri masing-masing. “Hanya kita yang dapat bantu diri kita sendiri. Wabak ini berada di dalam masyarakat, jaga kesihatan, jaga kebersihan dan jarakkan diri daripada individu lain supaya kita dapat menghindari jangkitan tersebut, ” katanya. - Sinar Harian. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!