suria

Lebih selamat di sekolah, keputusan meneruskan pembelajaran bersemuka dibuat berpandukan data - Radzi

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin. Foto: Yap Chee Hong/The Star

KETIKA berdepan cabaran maklumat palsu, berita dan spekulasi yang tidak disahkan, sebarang keputusan, terutamanya melibatkan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak, perlu dibuat berdasarkan fakta dan angka.

Dalam keadaan sekarang, keputusan berdasarkan data sangat penting berbanding sebelum ini bagi mengelak situasi panik dan dalam masa sama tidak ada pelajar yang ketinggalan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, analisis terperinci dari data Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa selamat untuk ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Berdasarkan analisis data yang diperoleh sepanjang tempoh persekolahan dari 1 Januari hingga 25 April tahun ini, langkah pencegahan akan diambil dengan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti persekolahan sempena Hari Raya Aidilfitri, malah penutupan sekolah secara menyeluruh adalah tidak perlu.

Menyedari peningkatan tahap kebimbangan ibu bapa yang mahukan sekolah ditutup, Radzi berkata, amat penting menilai perkara ini dari segi perspektif - hanya 2,274 kes (rujuk info grafik) direkodkan daripada 10,000 sekolah, sekolah berasrama, kolej matrikulasi dan Institut Pengajian Guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Kami tidak sempurna tetapi cuba memberikan yang terbaik dalam usaha memastikan pelajar hadir ke sekolah dengan selamat dan belajar dengan baik, dalam masa sama mengurangkan risiko penularan virus.

"Setakat ini, jika ada satu kes Covid 19 dalam kelas, sekolah mampu mengurangkan kadar penularan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Pematuhan terhadap SOP sangat membantu mengurangkan kadar penularan. Memang ada kes perlanggaran SOP namun tidak banyak," katanya pada sidang media, Isnin.

Kluster berkaitan pendidikan adalah sedikit jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan kes berkaitan kluster, katanya.

Tambah beliau, ini menunjukkan kemungkinan untuk pelajar, guru dan kakitangan sekolah dijangkiti di luar institusi adalah lebih tinggi.

Berdasarkan data semasa, kebarangkalian pelajar dijangkiti virus ketika berada di sekolah adalah rendah kerana terdapat SOP ketat berbanding dalam komuniti.

Katanya, risiko jangkitan di sekolah amat rendah.

"Malah mereka (pelajar) makan dalam kelas dan tidak dibenar bergerak dari tempat duduk. Persekitarannya sangat terkawal."

Bagaimanapun, kebimbangan utama kementerian adalah sekolah berasrama yang dilihat terdedah kepada risiko lebih tinggi.

Terdapat 253,659 pelajar asrama di seluruh negara. Radzi berkata, kementerian akan terus memantau dan memastikan SOP di sekolah berasrama ditingkatkan.

"Kami mahu melakukan perkara yang tepat berdasarkan data dan maklumat yang ada.

"Saya tiada masalah (menerima maklum balas negatif berkaitan diri saya) asalkan kami membuat keputusan sebaik mungkin berlandaskan data terkini," katanya.

Katanya, kementerian telah menangani banyak isu dengan melaksanakan pelan terperinci dalam menghadapi 'perang' ini.

Keputusan sama ada seluruh sekolah, atau hanya kelas yang terjejas, bangunan mahupun tingkat tertentu sahaja perlu ditutup, ia bergantung kepada nasihat daripada pegawai kesihatan daerah (PKD).

"Ramai menganggap kementerian tidak telus, dengan menutup sekolah terlibat Covid-19 biarpun kita sudah beritahu keputusan dibuat mengikut penilaian risiko (oleh PKD). Kami serahkan kepada profesional kerana yakin PKD akan memberi nasihat yang tepat," katanya.

Jika ibu bapa tidak yakin dan berasa tidak selamat menghantar anak mereka ke sekolah, mereka boleh mengemukakan alasan kepada pihak sekolah dengan menulis surat. Pelajar tidak akan didenda.

Katanya, surat diperlukan sebagai pemberitahuan rasmi, selain membolehkan kementerian memantau dan mengumpul data dalam usaha mengurangkan kadar keciciran pelajar.

Kadar purata kehadiran pelajar sejak Mac berada pada tahap 90.26 peratus (rujuk infografik).

"Kebelakangan ini, purata kehadiran pelajar ke sekolah adalah sekitar 80.53 peratus. Jadi kehadiran ke sekolah masih sama seperti sebelum wujud Covid -19, di mana kehadiran pelajar pada tahap 85 peratus.

"Menurut maklumat daripada guru, pelajar bersemangat datang ke sekolah dan guru dapat mengukur tahap pemahaman pelajar dengan lebih baik," katanya, sambil menambah, tinjauan kementerian mendapati kebanyakan ini bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Radzi, sekolah yang mempunyai populasi besar pelajar melaksanakan pembelajaran dua sesi atau melakukan giliran dalam memastikan jarak sosial terjaga dan mengurangkan kehadiran pelajar dalam satu-satu masa.

Terdapat lebih 90 sekolah melaksanakan model penggiliran di seluruh negara dalam usaha mematuhi SOP.

Malah, beliau berkata, di sesetengah sekolah, ibu bapa melibatkan diri secara langsung dalam membantu mematuhi SOP selepas persekolahan melalui pengambilan pelajar secara pandu lalu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain