suria

Merintis masa depan... Belum puas status setanding negara maju, TNB rangka strategi sediakan servis bertaraf dunia!

Kakitangan TNB mengendalikan Meter Data Intelligence Centre (MDIC).

APA yang anda lakukan apabila menjadi yang terbaik di rantau ini? Anda berusaha untuk menjadi lebih baik dan menakluk dunia.

Dan itulah yang sedang dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bermula dengan operasi secara kecil-kecilan kira-kira lebih 70 tahun lalu, TNB menyaksikan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) menurun tahun demi tahun dari 150 minit pada 2002 kepada 44.95 minit pada tahun lalu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pencapaian itu menjadikan TNB terbaik di rantau ini dan berdiri sama tinggi dengan beberapa negara maju di dunia.

SAIDI adalah kaedah yang diguna pakai syarikat utiliti bagi mengira tempoh purata gangguan mengikut minit bagi setiap pelanggan. Ia diukur dalam unit masa, di mana semakin rendah skor bermakna lebih bagus.

Dari segi kualiti bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia, TNB telah mencapai ranking setanding negara maju seperti Denmark, Perancis dan United Kingdom tetapi pada masa sama mengekalkan kadar tarif lebih rendah untuk rakyat Malaysia.

Sesungguhnya pembekal elektrik negara ini masih belum puas dengan pencapaian dikecapinya.

TNB merancang untuk memperbaiki perkhidmatannya dalam usaha menjadi antara syarikat terbaik di dunia.

Mengenai program pemodenan pembahagian TNB, projek jangka masa panjang dirancang untuk menyediakan bekalan elektrik berkualiti kepada pelanggan, lebih banyak kawalan dan pemerkasaan, keupayaan berhubung dengan grid bagi menghasilkan tenaga solar secara mampan dan mesra alam.

Wan Nazmy Wan Mahmood adalah figura penting yang akan menerajui program pemodenan pembahagian. Apatah lagi beliau telah menyaksikan dan mengalaminya sendiri. Wan Nazmy berasal dari Kuala Krai, sebuah bandar kecil yang terletak di Kelantan di mana katanya, bekalan elektrik adalah satu kemewahan pada tahun 1970-an dan awal tahun 80-an.

“Terdapat beberapa tempat yang mempunyai bekalan (elektrik) 24 jam. Di kebanyakan tempat, bekalan selama 12 jam dan semakin anda jauh dari bandar, tiadalah bekalan elektrik.”

Selepas menamatkan pengajiannya, penerima biasiswa TNB itu menyertai syarikat utiliti negara ini sebagai seorang jurutera di Kuala Terengganu sebelum berpindah ke Kemaman.

Di sana beliau melihat peningkatan permintaan penggunaan elektrik ketika Kemaman menjadi pusat minyak dan gas negara yang memerlukan banyak bekalan tenaga.

Kawasan perumahan dan perbandaran yang semakin berkembang di sekitar lokasi industri minyak itu juga meningkatkan permintaan bekalan elektrik.

Wan Nazmy, tonggak utama dalam program pemodenan pembahagian TNB.

Kerjaya Wan Nazmy melonjak seiring dengan TNB. Hari ini, beliau adalah Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, menerajui salah satu bahagian penting dalam menyediakan tenaga kepada syarikat, pelanggan dan orang ramai pada masa depan.

TNB telah merangka masa depannya. Wan Nazmy menyenaraikan beberapa perkara utama ciri-ciri bekalan elektrik yang dilaksanakan TNB iaitu meter pintar, lampu jalan Diod Pemancar Cahaya (LED), grid pintar, simpanan tenaga dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV).

Meter pintar yang membolehkan pengguna mengawal penggunaan elektrik mereka sudah dipasang di Melaka dan beberapa kawasan di Lembah Klang.

“Alat itu akan membolehkan pengguna mengetahui jumlah penggunaan elektrik mereka, selain boleh memeriksa peralatan yang menggunakan banyak kuasa elektrik menerusi aplikasi myTNB di telefon bimbit mereka, ” kata Wan Nazmy.

Lampu jalan menggunakan LED juga sedang dipasang ketika ini. Kira-kira 400,000 lampu jalan, atau 25 peratus daripada jumlah keseluruhan 1.7 juta lampu jalan di negara ini sekarang menggunakan LED yang bukan sahaja tahan lebih lama tetapi juga membantu pihak berkuasa tempatan melakukan lebih banyak penjimatan.

Dan itu hanyalah sebahagian kecil dari situasi yang jauh lebih besar. TNB akan menyediakan kemudahan infrastruktur EV di seluruh negara sekali gus memberi bayangan kenderaan elektrik akan menjadi satu kebiasaan.

Dan dengan sasaran baharu negara untuk memiliki 31 peratus tenaga hijau menjelang 2025, tenaga solar akan menjadi suatu pencapaian terbesar.

Untuk mencapai sasaran tersebut, grid pintar adalah komponen penting dalam pemodenan untuk memastikan lebihan tenaga solar yang dihasilkan oleh pelanggan atau penggunaan tenaga yang dihasilkan di lokasi oleh pengguna tenaga boleh diterima dan dibekalkan serta dijual kepada pengguna kuasa lain.

Meter pintar yang sudah dipasang di Melaka dan beberapa kawasan di Lembah Klang membolehkan pengguna memantau penggunaan elektrik di kediaman masing-masing.

Malah situasi terputus bekalan elektrik untuk tempoh yang lama akan menjadi satu memori tidak lama lagi kerana teknologi dan digitalisasi terkini dapat memastikan masalah seperti itu diselesaikan dengan pantas.

Automasi pembahagian ketika ini banyak membantu pemulihan bekalan dengan lebih cepat. Sebagai contoh di Johor Baru, pemulihan bekalan elektrik dapat dilakukan dengan hanya satu klik di hujung jari oleh pengawal sistem. Dan menariknya, pengawal sistem itu akan dtempatkan di Bangsar, Kuala Lumpur.

Penyelesaian mobiliti TNB bukan hanya dapat mengenalpasti lokasi kerosakan tetapi dapat mengesan pasukan teknikal terdekat yang akan dihantar segera bagi memulihkan gangguan yang dilaporkan pelanggan.

Dan ia bukan sekadar memulihkan gangguan bekalan dengan segera, tetapi dalam masa sama memastikan pelanggan mendapat maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Sistem GPS akan mengesan lokasi pasukan teknikal dan membolehkan TNB memaklumkan kepada pelanggan anggaran masa tiba sebelum memulakan kerja-kerja pembaikan.

Beberapa inisiatif ini akan mewujudkan peluang pekerjaan dan juga pelaburan.

Masa depan yang lebih cerah sedang menanti kita. Sesungguhnya kita berjaya menempuh perjalanan penuh berliku dan panjang, bermula dengan situasi rumah tanpa bekalan elektrik di Kuala Krai.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain