suria

Dah 2 kali raya tak dapat masak menu kesukaan anak... ibu Dr Amalina berzikir cari ketenangan, elak dengar lagu raya tapi lega ada menantu di UK

Foto kanan Dr Amalina (kanan) dan ibu ketika Aidilfitri 2019, Sabariah, sementara foto kiri Dr Amalina dan suami semasa Aidilfitri tahun ini. foto IG dramalinabakri

RINDU dari kejauhan, begitulah yang dirasai oleh ibu kepada pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri menjelang Aidilfitri.

Manakan tidak, tahun ini merupakan tahun kedua ibu Dr Amalina iaitu Sabariah Hassan tidak dapat menyambut hari raya bersama anak kesayangan.

Wanita berusia 61 tahun ini berkata, sejak Dr Amalina mengikuti pengajian di United Kingdom (UK) pada 2005, dia beberapa kali berkunjung ke negara itu untuk meluangkan masa bersama sekiranya anaknya itu tidak berkesempatan pulang ke Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Rindu dari kejauhan, ibu Dr Amalina sifatkan menantu lelaki terbaik buat anaknya - "Dia lemah-lembut, berhati baik"

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia ikhlas, bukan untuk 'cover' sebarang kritikan" - Ibu Dr Amalina dedah kenapa dia menangis, kongsi apa berlaku di sebalik rawatan Ainul Mardhiah di UK

"Beberapa kali juga saya menyambut Aidilfitri bersama Amalina di UK dari masa dia belajar di universiti sehingga bertugas di hospital.

"Kali terakhir saya beraya bersama dengan Amalina di London pada 2019, dan dah dua tahun tak dapat bertemu disebabkan pandemik Covid-19," katanya kepada mStar.



Sabariah (kiri) bersama Dr Amalina ketika bercuti di Eropah.

Walaupun Dr Amalina sering bertugas pada 1 Syawal di UK, Sabariah bersyukur kerana tetap diberikan peluang untuk bersama anaknya yang kini berusia 34 tahun.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mengimbas kembali kenangan manis, pesara guru dan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Tiram di Johor itu terkenangkan juadah Aidilfitri yang dimasaknya.

"Macam-macam yang saya masak ikut tahun, seperti nasi beriani, nasi minyak, nasi hujan panas dan nasi tomato. Rendang daging dan ketupat itu seperti biasa.

"Paling istimewa adalah ayam masak merah kerana itu yang paling disukai Amalina. Menu tu kira wajib untuk setiap raya bersama Amaina.

"Amalina akan jamah sedikit rendang dan ketupat dahulu pagi 1 Syawal dan bawa bekal ke hospital. Petang dah selesai bertugas, barulah kami meluangkan masa bersama," ujarnya.



Dr Amalina (kiri) bergelar isteri kepada jejaka Inggeris, Alexander Charles.

Berkongsi pengalaman, Sabariah memberitahu dia pernah membawa satu bungkusan mengandungi sarung ketupat yang telah siap dianyam untuk dibawa ke UK.

"Atas bantuan beberapa pihak yang menganyam kira-kira 30 sarung ketupat, saya membawanya bersama dalam penerbangan.

"Setibanya di UK barulah saya akan masukkan beras ke dalam sarung ketupat dan masakkan untuk dijamu untuk sejumlah tetamu yang merupakan rakan-rakan Amalina," tambahnya.

Kadang-kadang saya termenung kat tingkap terkenangkan Amalina. Bila lah saya dapat berjumpa dengan dia, siapa tak rindu anak kan

SABARIAH

Namun, Sabariah berasa sedikit lega kerana anaknya itu kini telah berkahwin dan mempunyai suami yang dapat menjaga dan membimbingnya yang berjauhan dari keluarga.

Dr Amalina bergelar isteri kepada jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas di Masjid Central London pada 31 Mac lalu.



Sabariah sentiasa mendoakan Dr Amalina bahagia bersama suami.

Bagaimanapun, Sabariah mengakui perasaan rindunya terhadap Dr Amalina semakin menebal setelah dua tahun tidak bertemu.

"Kadang-kadang saya termenung kat tingkap terkenangkan Amalina. Bilalah saya dapat berjumpa dengan dia, siapa tak rindu anak kan.

"Sekarang ni memang tak boleh dengar lagu-lagu raya. Tak nak mainkan perasaan, nanti saya sedih. Lebih baik saya berzikir untuk mencari ketenangan.

"Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan Amalina bahagia bersama suami. Saya juga berharap wabak ini segera berakhir dan urusan suntikan vaksin saya dipermudahkan," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain