suria

Ada perubahan! Polis masih terima surat lama Miti untuk bekerja, tapi sehingga 3 Jun sahaja

Polis memberi pelepasan kepada mereka yang menggunakan surat lama Miti untuk perjalanan atas urusan kerja sehingga 3 Jun ini. Gambar hiasan

POLIS akan memberi pelepasan kepada mereka yang menggunakan surat lama yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk perjalanan atas urusan kerja sehingga 3 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata masih ramai individu menggunakan surat lama tersebut.

"Ada yang kata surat baharu belum siap, ada juga yang kata mereka baru saja buat permohonan malam semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua surat Miti terbatal mulai 1 Jun! Pergerakan terhad 10km dari kediaman, hanya 2 individu dalam satu kereta

"Jadi, menurut arahan ketua polis negeri, kita akan izinkan penggunaan surat lama ketika memeriksa kereta di sekatan jalan raya (SJR) sehingga 3 Jun.

"Kami juga nasihatkan mereka untuk periksa dengan majikan mengenai permohonan surat Miti baharu atau surat kebenaran dari kementerian masing-masing," katanya dalam sidang media, Selasa.

Tambahnya, selepas 3 Jun polis akan terus mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal menunjukkan surat baharu yang sah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pada Ahad, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua surat kebenaran perjalanan untuk urusan bekerja yang dikeluarkan Miti sebelum ini terbatal mulai 1 Jun 2021.

Surat kebenaran perjalanan baharu akan dikeluarkan untuk sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh 'total lockdown' yang bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Terdahulu polis memeriksa pematuhan SOP Covid-19 di dua kilang di kawasan Petaling Jaya.

"Saya gembira melihat kilang-kilang di sini, terutamanya kilang-kilang besar, sangat patuh.

"Pemeriksaan kami adalah berterusan, dan setakat ini kami telah memeriksa 24 lokasi," katanya.

Mengenai perkembangan sekatan jalan raya, Mohamad Fakhrudin berkata bahawa 10 SJR bergerak akan dijalankan di daerah ini. -The Star Online

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain