SEMUA masjid dan surau yang berada di kawasan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk bertakbir ketika Hari Raya Aidiladha. Menerusi satu kenyatan pada Sabtu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagaimanapun memaklumkan bahawa takbir dari rumah ke rumah, jamuan selepas solat sunat Aidiladha, program ziarah, ziarah tanah perkuburan dan rumah terbuka atau majlis jamuan hari raya adalah tidak dibenarkan. Sementara itu, solat sunat Aidiladha dan khutbah hari raya serta ibadah korban bagi tahun ini turut dibenarkan dengan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dan kebenaran pihak berkuasa agama negeri. Bagi kawalan penularan dan jangkitan, masjid atau surau perlu mengadakan kaunter di pintu masuk dengan jumlah yang hadir perlu dihadkan bilangannya, suhu badan diperiksa, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah diambil; dan ruang solat serta kawasan sekitarnya, termasuk tandas dan ruang wuduk perlu kerap disanitasi. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Jakim juga memaklumkan, pintu masjid hanya dibuka satu jam sebelum solat dan ditutup sejurus selepas selesai aktiviti solat berjemaah. Hanya jemaah yang sihat dan tidak bergejala sahaja dibenarkan hadir dengan mengikut SOP, tambahnya. Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai (Selasa). Setakat ini, lapan negeri yang telah beralih ke Fasa 2 PPN iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!