suria

Anak muda Malaysia peroleh 3 biasiswa sambung PhD di Cambridge

Chee Yong mahu berkhidmat untuk negara selepas menamatkan pengajian.

SEORANG rakyat Malaysia baru-baru ini menerima tiga biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di University of Cambridge di United Kingdom (UK).

Anak muda yang berasal dari Kajang, Selangor, Tan Chee Yong, merupakan penerima biasiswa Cambridge Trust Scholarship, Tunku Abdul Rahman Postgraduate Scholarship of St. Catharine’s College, dan dana daripada Pusat Kajian Komanwel Malaysia (MCSC), akan memulakan pengajian PhD dalam kajian pembangunan di Cambridge, pada Oktober ini.

Pemuda berusia 24 tahun itu bukan asing lagi di universiti itu kerana baru-baru ini dia telah menamatkan Ijazah Sarjana Falsafah dalam Sosiologi dengan cemerlang.

Malah, UK menjadi 'rumah'nya sejak 2017 apabila menerima Biasiswa Khazanah Global untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Hubungan Antarabangsa di King's College London.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bagi pengajian PhD, Chee Yong akan menumpukan dasar pembangunan dan masa depan Malaysia, yang merupakan bidang penyelidikan yang tepat kerana dia bercita-cita untuk bekerja sebagai perunding dasar atau diplomat di negaranya setelah menamatkan pengajian.

Mengenai harapannya terhadap Malaysia, bekas felo Perdana itu berkata, pendekatan yang lebih inklusif perlu dipertimbangkan dalam merancang untuk kesejahteraan rakyat.

"Tiga perkara utama yang masih berkurangan di negara kita adalah ekuiti, modal insan dan pembangunan.

"Penekanan harus diberikan kepada miskin bandar, kehilangan sumber manusia dan jurang antara kaya dan miskin," katanya.

Kesungguhan Chee Yong bagi meneruskan pengajian disebabkan oleh minatnya yang tinggi dalam hal ehwal semasa dan sains sosial.

"Saya sentiasa berminat dengan berita sejak kecil. Hal ehwal semasa memang menarik dan saya sering ingin tahu mengenai apa yang berlaku di dunia,” katanya kepada StarEdu menerusi panggilan video.

Sebagai pelajar muda, dia juga sering mengimpikan untuk belajar di luar negara.

Peluang yang datang kepadanya tidak begitu mudah kerana dia sebelum ini berdepan dengan pelbagai cabaran.

Chee Yong dibesarkan oleh ibunya yang merupakan ibu tunggal selepas kematian bapanya ketika dia masih di sekolah rendah.

Chee Yong sekali lagi ditimpa dugaan apabila ibunya meninggal dunia akibat penyakit kanser, ketika dia sedang membuat persiapan untuk temuduga sebagai pelajar A-Level di Methodist College Kuala Lumpur.

"Ibu merupakan inspirasi dan motivasi saya kerana beliau seorang wanita yang tabah. Beliau membuatkan saya percaya dengan apa yang ingin saya lakukan.

"Beliau tetap memberi dorongan kepada saya walaupun ketika itu bertarung dengan kanser.

"Beliau membantu saya membuat persiapan untuk temuduga dan menasihatkan saya supaya membawa diri degan baik," katanya yang mengimbas kembali mengenai ibunya.

Selepas ibunya meninggal dunia, Chee Yong yang merupakan anak tunggal terpaksa bergantung pada dirinya sendiri untuk mencapai impiannya menyambung pengajian di luar negara.

Dia turut terlibat dalam aktiviti tambahan, di mana kepuasannya dengan menyertai debat dan mengirimkan tulisan ke akhbar bagi menyuarakan pendapatnya mengenai dasar pembangunan di Malaysia.

Susulan pengajiannya di UK, Chee Yong berkata, masanya di luar negara banyak membantu membina lebih banyak keyakinan diri dan semangat untuk mendalami ilmu yang dipelajarinya.

Mengenai nasihat buat para pelajar, Chee Yong berkata, mereka perlu mengenal pasti kekuatan dan minat masing-masing.

"Saya suka apa yang saya lakukan; sebab itulah saya bekerja keras. Anda akan melakukannya dengan baik bukan kerana itu sahaja tetapi kerana anda mahu berusaha untuk sesuatu yang anda suka," katanya.

Selain itu, Chee Yong juga yakin dengan keberanian dan ketekunan.

"Jangan berputus asa walaupun menghadapi cabaran dan selalu bertanya pada diri sendiri 'Siapa yang anda mahu jadi suatu hari nanti?' Saya mahu membanggakan keluarga dan rakan-rakan," katanya. - The Star

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain