suria

“Nak tulis wasiat” - Itu permintaan terakhir pesakit kanser mangsa Covid-19 sebelum ‘ditidurkan’... saat itu bayangkan frontliner tanpa PPE, pasti segala-galanya terbongkar!

"KALAULAH kami tak pakai PPE, orang akan nampak air mata kami berlinangan setiap kali terpaksa masukkan tiub untuk intubasi."

Itu antara luahan hati Dr Ngazraini Abdul Maei, 40, pakar bius di Unit Kecemasan Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor yang saban hari menunaikan tanggungjawab merawat pesakit Covid-19.

Menurutnya, situasi penuh emosi sering kali berlaku terutamanya di saat mereka membantu pesakit Covid-19 membuat panggilan terakhir kepada keluarga sebelum ditidurkan.

ARTIKLE BERKAITAN: Melonjak naik! Malaysia catat 15,573 kes baharu Covid-19, hampir separuh dari Selangor

ARTIKLE BERKAITAN: Vaksin Sinovac, Pfizer sama berkesan lawan Covid-19 - Dr Noor Hisham

Tambahnya lagi, tugas petugas hospital bukan sekadar merawat, bahkan juga 'menggantikan' keluarga pesakit yang tidak dapat berada di sisi insan tersayang.

"Kami orang terakhir yang bantu mereka ucapkan syahadah, kami jugalah yang perlu sampaikan sebarang berita buruk kepada keluarga pesakit. Tugas ini bukan mudah sebab ia bukan saja menjejaskan emosi keluarga tapi menggugat emosi kami.

"Setiap kali buat panggilan video, saya sendiri rasa sedih sangat sebab kita sedar ini mungkin kali terakhir mereka tatap wajah ahli keluarga masing-masing, bayangkan perasaan mereka yang sudah berbulan tidak bertemu keluarga," katanya kepada mStar.

Point Blur_Jul242021_123629

Prosedur intubasi sedang dilakukan terhadap salah seorang pesakit.

Sayu ketika sampaikan berita buruk​​​​​

Menurut Dr Ngazraini antara pengalaman yang sukar untuk dilupakannya adalah kes kematian seorang bapa yang sudah lama terpisah dengan keluarganya.

"Masa kami telefon keluarga untuk maklumkan mengenai prosedur intubasi, keadaan pesakit memang sudah agak teruk, kami memang merasakan peluang untuk dia selamat agak tipis dan pada ketika itu baru kami diberitahu rupa-rupanya anak-anak dan isteri dah tiga bulan tak jumpa dengan pesakit.

"Lepas beberapa hari di unit kecemasan, pesakit berkenaan meninggal dunia. Saya sedih sangat sebab kita tak dapat beri penutup (yang baik) untuk setiap pesakit," katanya, terkilan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Dr Ngazraini keadaan bertambah hiba apabila melibatkan pasangan yang mempunyai anak-anak yang masih kecil.

"Anak-anak kecil ini mereka tak faham, kita kata nak bagi ayah 'tidur' jadi minta mereka peluk cium ayah, mereka tanya "bila ayah nak bangun?".

"Itu soalan yang saya memang tak dapat nak jawab,” katanya, dalam nada yang tersekat-sekat.

Doktor merawat pesakit Covid-19 berkongsi detik menemani pesakit membuat panggilan terakhir pada keluarga sebelum mereka dikomakan. - Tiktok Tyrazizi

Petugas merawat pesakit Covid-19 berkongsi detik menemani pesakit membuat panggilan terakhir pada keluarga sebelum mereka dikomakan. - Tiktok Tyrazizi

Ibadah terakhir sebelum ditidurkan

Bercerita lanjut, Dr Ngazraini berkata petugas barisan hadapan akan berusaha untuk memastikan setiap pesakit berpeluang memohon maaf kepada keluarga serta melaksanakan ibadah terakhir mereka sebelum diletakkan dalam keadaan koma.

"Ada sekali kami nak tidurkan pesakit tapi azan Maghrib, jadi kami berhenti dulu sebab kami fikir ini mungkin solatnya yang terakhir. Kalau ikutkan memang oksigen pakcik tu dah tak berapa cantik, jadi kami bantu dia ambil wuduk dan lakukan proses intubasi selepas pakcik berkenaan selesai menunaikan solat

"Sekurang-kurangnnya kalau dia tak bangun pun dia 'pergi' dalam keadaan sudah mendirikan solat. Kami juga akan pastikan setiap pesakit beragama Islam mengucap syahadah terlebih dulu sebelum kami tidurkan," ceritanya lagi.

Point Blur_Jul242021_195513

Petugas menukar posisi pesakit kepada melentang.

Panggilan terakhir sebelum ditidurkan

Selain bermaaf-maafan, menurut Dr Ngazraini panggilan terakhir juga memberi peluang kepada ahli keluarga pesakit untuk memberi dorongan serta kata-kata semangat kepada pesakit sebelum mereka ditidurkan.

"Ada sekali tu dalam pukul 1 pagi, kami nak tidurkan seorang pesakit ini jadi saya minta dia telefon keluarga, dia telefon isterinya, lepas tu saya tanya mak ada lagi tak? Dia kata ada jadi saya suruh telefon mak, tapi dia kata mak dah tidur.

"Saya minta dia telefon juga emaknya untuk minta maaf, saya kata tak apa seorang mak mesti bangun, dan memang betul mak dia angkat telefon dan terkejut sangat sebab tak sangka keadaan anaknya sebegitu teruk.

"Kemudian pernah juga kami nak tidurkan pakcik ini dan apabila telefon keluarga semua ramai-ramai kebetulan tengah bersedia nak buat solat hajat, jadi dengan bertelekung, bersongkok, mereka bermaafan dan beri kata-kata semangat, kita yang melihat memang rasa sayu sangat," katanya.

PhotoGrid_1627099694624

(Kiri) petugas kesihatan berehat sebentar sementara menunggu pesakit lain manakala (kanan) petugas selepas doffing.

Rasa seperti ditembak!

Sementara itu, seorang lagi petugas, Dr Syahirah Zafirah Sukardi, 29, yang turut bertugas di hospital yang sama berkata, antara soalan yang sering diterima mereka adalah tentang peratusan pesakit untuk sembuh.

"Setiap kali dapat soalan ini saya rasa macam kena tembak, saya memang tak boleh nak jawab. Selalunya saya akan tarik nafas dahulu kemudian saya akan cakap, okay, ajal maut itu kerja Tuhan, kita semua perlu berdoa banyak-banyak supaya urusan pesakit dan urusan kami yang ingin membantu pesakit dipermudahkan," katanya.

20210724_120112

(Kiri) Dr Ngazraini dan Dr Syahirah (kanan) bertugas di Unit Kecemasan Hospital Che Sultanah Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

Berkongsi lagi pengalamannya, kata Dr Syahirah, dia pernah berhadapan dengan situasi yang mana pesakit meminta ruang untuk menulis wasiat sebelum ditidurkan.

"Pesakit menghidap kanser dan keadaannya ketika itu memang agak kritikal, jadi bila kami beritahu yang dia perlu ditidurkan dia minta pen dengan kertas, dia cakap nak tulis wasiat.

"Masa buat panggilan dengan keluarga pun dia dah tak mampu nak bercakap sangat, jadi dia cuma angguk sahaja bila anak-anak minta dia kuat," ujarnya, menambah pesakit tersebut bagaimanapun tidak dapat diselamatkan.

Menurut Dr Syahirah pesakit tersebut menulis wasiat tersebut di buku conteng miliknya, namun buku tersebut tidak dapat diberikan kepada keluarga kerana risiko menyebaran virus.

"Buku tersebut kita kira "dirty" jadi kita tak pulangkan kepada keluarga, selalunya kalau dokumen penting seperti kad pengenalan staf kami akan sanitise terlebih dahulu tapi buku ni tak boleh.

"Jadi kami ambil gambar, print elok-elok, kemudian diserahkan kepada keluarga," katanya.

Ada beberapa episod pesakit menangis, suami pesakit menangis, saya dengan jururawat menangis, sedih sangat bila membayangkan yang malam tu malam raya, selalunya ini waktu kita bersama keluarga, bergembira tapi malam tu sebaliknya.

DR SYAHIRAH ZAFIRAH SUKARDI

- Doktor

Tolak intubasi, takut tak bangun semula

Dr Syahirah berkata sesetengah pesakit menolak prosedur intubasi ini kerana tidak yakin mereka akan bangun semula.

Berkongsi pengalamannya merawat seorang ibu pada malam raya tahun lepas, Dr Syahirah berkata rasa tanggungjawab ibu tersebut terutama sekali kepada anak-anaknya yang masih kecil membuatkan dirinya takut untuk berhadapan dengan situasi terpaksa 'dikomakan'.

"Sepanjang malam saya perlu pujuk dia untuk buat intubasi sebab dia rasa ralat tak dapat berjumpa dengan suami dan dia rasa keadaan dirinya okay, tapi bacaan oksigen dalam darah memang rendah dan pernafasannya pun laju.

"Kami buat panggilan video kepada suaminya... adalah beberapa kali pesakit menangis, suaminya juga, tidak ketinggalan saya dan jururawat pun menangis, sedih sangat bila membayangkan yang malam tu malam raya, selalunya waktu ini kita akan bersama keluarga, bergembira tapi malam itu sebaliknya," katanya sebak.

Tiada istilah lepas intubasi, mati, kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pesakit.

DR NGAZRAINI ABDUL MAEI

- Pakar bius

Persepsi salah terhadap prosedur intubasi

Menurut Dr Ngazraini pandangan sesetengah pihak bahawa pesakit yang diintubasi tidak akan sembuh, itu kurang tepat malah jumlah pesakit intubasi yang terselamat juga jauh melebih jumlah pesakit yang terkorban setelah diintubasi.

"Pesakit yang memerlukan intubasi ini semestinya berada dalam keadaan kritikal... mereka sukar untuk bernafas, oksigen rendah, tekanan darah tak stabil dan mungkin juga organ lain sudah terkesan dan mulai rosak.

"Intubasi ini dilakukan supaya fungsi organ-organ penting yang sudah 'kepenatan' dapat diambil alih sementara mesin, contohnya pesakit akan dapat oksigen terus dari mesin sekali gus memberi peluang kepada otot-otot dada berehat,” katanya.

"Justeru tiada istilah lepas intubasi, mati, kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pesakit," katanya.

IMG-20210722-WA0015

Selain di unit kecemasan Dr Ngazraini dan Dr Syahirah turut membantu kes-kes positif Covid-19 yang memerlukan pembedahan seperti kes ibu ingin bersalin.

Kecekalan seorang ibu melawan Covid-19 demi keluarganya

Menurut Dr Ngazraini semangat jugang serta kecekalan seorang pesakit wanita yang terpaksa beliau intubasi baru-baru ini telah berjaya membawanya mengharungi dugaan tersebut.

"Dia dan suami positif tapi suami kuarantin di tempat lain, anak masih kecil, tak sampai setahun lagi, tapi anak negatif Covid-19.

"Dia telefon suami dan mohon maaf, minta doakan dia supaya kuat, masa tu suami dia yang menangis teresak-esak, tapi dia sangat kuat dia cakap "jangan menangis, saya kuat, saya akan sembuh, saya akan tidur dua tiga hari dan akan bangun"."

"Lepas dua tiga hari memang dia bangun, kami gembira sangat sebab boleh cabut tiub pernafasan tapi keesokkan harinya, kami terima berita suami dia pula yang perlu ditidurkan," ujar Dr Ngazraini, menambah suami pesakit tersebut turut selamat.

Perasaan yang sukar digambarkan

Sementara itu, menurut Dr Ngazraini, tiada apa yang lebih menggembirakan mereka selain daripada melihat pesakit sembuh dan pulang semula ke pangkuan keluarga.

"Penat memang penat tapi bila melihat pesakit yang kita rawat sembuh timbul satu perasaan yang susah untuk saya gambarkan, rasa seronok tu lain macam bila kita boleh cabut tiub pernafasan dan pesakit boleh buat panggilan pada keluarga, kemudian balik ke pangkuan mereka.

"Memang kami rasa sedih bila ada yang meninggal, rasa lemah semangat tapi realitinya, pesakit yang terselamat jauh lebih ramai dari mereka yang meninggal dunia," katanya.

PhotoGrid_1627106523348

Antara pesakit Covid-19 yang berjaya untuk sembuh.

Sama seperti orang lain, Dr Ngazraini yang sudah setahun tidak bertemu keluarganya yang menetap di Selangor, turut berharap agak pandemik ini dapat berakhir dengan segera.

"Kita perlu ikut arahan yang dikeluarkan kementerian kesihatan dan kerajaan, patuh kepada SOP sebab ini amanah yang perlu dipikul bersama.

"Buat barisan hadapan terutama sekali mereka yang bertugas di Lembah Klang saya faham cabaran yang dihadapi, saya harap mereka kuatkan semangat, ini adalah kita, kita barisan hadapan yang dilatih untuk berdepan dengan situasi sebegini jadi kita perlu kuat dan semoga semua orang selamat dan wabak ini berakhir dengan segera," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain