suria

“Saya melakukan tindakan bodoh” - Suri rumah menangis teresak-esak selepas mengaku hina Agong

Suri rumah tersebut didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Mei lalu. Gambar hiasan.

"KETIKA itu saya terlalu tertekan dan meluahkan perasaan di Facebook sehingga menyebabkan saya melakukan tindakan bodoh"

Demikian kata seorang wanita, Rosmawati Mohd Zain sambil menangis teresak-esak selepas didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Mei lalu.

Rosmawati, 46, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, surirumah itu didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui profil Facebook Rosmawati Mohd Zain.

Hantaran dibuat 25 Mei lalu pada pukul 7.06 malam dan dibaca pada jam 1.06 tengah hari, 1 Jun lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, serta boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian anggota polis mendapati terdapat komen daripada profil Rosmawati dengan tangkap layar jelik.

Hasil siasatan mendapati, akaun itu didaftarkan atas nama Rosmawati dan bertanggungjawab secara sedar melakukan kesilapan tersebut.

Semasa prosiding, wanita itu yang tidak diwakili peguam mengaku kesal dengan perbuatan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

Malah Rosmawati merayu kepada hakim agar dendanya dikurangkan kerana mempunyai empat anak yang berada di bawah tanggungannya, memandangkan dirinya cuma seorang surirumah dan mengharapkan pendapatan suami.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan kepada tertuduh dan mesej kepada masyarakat supaya tidak sesekali mengulangi jenayah sama. - SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain