suria

Azalina bakal letak jawatan Timbalan Speaker?

Azalina (gambar fail) antara 11 pemimpin Umno hadir pada sidang media presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Selasa.

DATUK Seri Azalina Othman Said dijangka meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, pada Rabu.

Peletakan jawatan itu menyusul selepas keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin dedah ada pihak kurang senang tuntutan tidak dilayan, sedia berdepan usul undi percaya di Parlimen

ARTIKEL BERKAITAN: Umno tarik balik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin... sudah hantar surat akuan 'mencukupi angka' kepada Agong - Zahid

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu adalah salah seorang daripada 11 pemimpin Umno yang dilihat hadir dalam sidang media bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan Umno.

Antara pemimpin Umno yang menyertai sidang akhbar itu ialah Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang); Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan) dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pada sidang media itu juga, Ahmad Zahid mengesahkan surat akuan ahli-ahli Parlimen Umno yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus menunjukkan kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah sebelum itu mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, selaras dengan kehendak parti.

Selain itu, beberapa lagi menteri dijangka mengikut tindakan beliau dalam waktu terdekat. - Sinar Harian

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain