suria

Semua ketua parti menghadap Agong esok... Siapa calon PM baharu?

Semua ketua parti atau wakil dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, pada Selasa.

TUMPUAN kini mengenai siapakah calon terbaik yang akan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri baharu, susulan peletakan jawatan beliau pada Isnin.

Bagaimanapun difahamkan semua ketua parti atau wakil dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa.

Difahamkan juga pertemuan itu akan diadakan pada jam 2 petang di Istana Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: "Ada pihak rakus rebut kuasa..." - Muhyiddin reda berdepan hari terakhir sebagai PM

ARTIKEL BERKAITAN: Peletakan jawatan diperkenan, Muhyiddin kini jalankan tugas sebagai caretaker PM

Menurut seorang ahli Parlimen yang enggan dikenali, terdapat kemungkinan Seri Paduka Baginda mahu mendapatkan pandangan daripada semua ketua-ketua parti.

"Ya, saya mengesahkan memang ketua-ketua parti sudah menerima titah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tidak tidak tahu tentang apa tetapi mungkin Tuanku mahu mengetahui pandangan setiap parti-parti selepas Muhyiddin letak jawatan.

"Kemungkinan ini adalah sebahagian proses untuk melantik seorang perdana menteri baharu," katanya pada malam Isnin.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.- Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain