PERBINCANGAN khas dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah mengenai isu semasa termasuk calon Perdana Menteri baharu dihadiri oleh Raja-Raja Melayu yang berangkat tiba di Istana Negara pada Jumaat.Kenderaan rasmi yang membawa Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memasuki pintu 1 Istana Negara pada jam 1.56 petang.Turut menyusul selepas itu, kenderaan yang membawa Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memasuki Istana Negara pada 2.14 petang.Pada Isnin, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri bersama seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.Pada Selasa pula, Seri Paduka Baginda dan Timbalan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua parti politik.Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, kesemua 220 ahli Dewan Rakyat dititahkan untuk mempersembahkan surat akuan bagi menyatakan sokongan kepada seorang ahli Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri yang baharu.Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara sedaya upaya menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang Raja Berperlembagaan dan akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada Jumaat bagi membincangkan isu semasa. -SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI