suria

TMJ mahu jumpa 779 guru tolak suntikan vaksin Covid-19

Tunku Ismail menerusi ciapan di Twitter berkata akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan sebilangan guru yang menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

MERUPAKAN antara pemimpin yang lantang bersuara, terbaharu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim bakal bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan sebilangan guru yang menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menerusi ciapan di Twitter, Tunku Ismail berkata pertemuan itu adalah bagi mencari penyelesaian isu berkenaan dan akan diadakan dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Drama Queen, kesian rakyat jadi mangsa”... Ini habuan Syed Saddiq dapat daripada TMJ selepas rayu wang ikat jamin

"Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Insya-Allah kita boleh selesaikan masalah ini dengan cara berhemah," titah baginda dalam ciapan berkenaan.

Ciapan berkenaan dibuat selepas seorang netizen berkongsi laporan media berkenaan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, di laman Twitter.

Pada Ahad, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang dilaporkan memaklumkan kira-kira 779 guru di negeri ini menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mazlan ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Keempat Dun Johor yang ke-14 berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin kepada guru-guru yang terbabit supaya menerima vaksin.

Sementara itu meninjau komen di laman Twitter, rata-rata netizen menyambut baik dan menyokong titah Tunku Ismail.

"Terbaik Tuanku. Kalau boleh jangan bagi masuk sekolah kalau tak lengkap vaksin.

"Alhamdulillah. Terbaik Tuanku atas kecaknaan.

"Terbaik Tuanku, action speak louder than word," demikian antara komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain